
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak dipetik Harian Metro berkata, dua individu itu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.
Semalam, Bernama melaporkan polis membuka kertas siasatan terhadap seorang pegawai APM yang memasuki kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 yang juga kawasan larangan tanpa kebenaran serta seorang pemilik akaun Facebook susulan penularan sebuah video di laman media sosial itu.
Farouk semalam dilaporkan berkata, dirinya sebagai Komander Operasi Bencana dalam kejadian itu tidak membenarkan pasukan APM memasuki lokasi bencana selepas penilaian situasi dari semua sudut keselamatan dan ruang terlalu sempit serta terhad.
Dalam video selama 55 saat itu yang tular sejak kelmarin, pegawai APM terbabit dilihat mempersoalkan tindakan Farouk tidak membenarkan pasukan APM memasuki kawasan bencana berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang Khamis lalu, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 itu meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang warga emas cedera ringan, selain menjejaskan 15 rumah serta 10 kenderaan.