Pesakit Covid-19 lari hospital, maut motosikal terbabas

Pesakit Covid-19 lari hospital, maut motosikal terbabas

Mangsa dikatakan menunggang motosikal milik seorang kakitangan hospital secara melawan arus sebelum melanggar pembahagi jalan.

Polis berkata, mayat mangsa ditemui orang awam di susur keluar sebuah kilang berhampiran tempat kejadian. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari Hospital Hulu Terengganu (HHT) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Berang, hari ini.

Mangsa, Kassim Abdullah, 66, dari Kampung Kuala Jenerih ditemui orang awam di susur keluar sebuah kilang berhampiran tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa yang dirawat sebagai pesakit Covid-19 di HHT dikesan keluar menggunakan motosikal Honda C100 milik kakitangan hospital berkenaan.

“Mangsa menggunakan motosikal kakitangan hospital yang diparkir di kawasan surau hospital berkenaan dan dikesan melarikan diri menghala ke pekan Wakaf Tapai, Marang secara melawan arus.

“Sebaik tiba di persimpangan Bukit Perpat, motosikal ditunggang warga emas itu tiba-tiba terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HHT untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.