Penyelia kilang muat naik video lucah didenda RM16,000

Penyelia kilang muat naik video lucah didenda RM16,000

Tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan video dan gambar lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan tertuduh dilihat pengadu di sebuah rumah di Padang Sena, Kuala Terengganu pada 12 tengah malam, 11 Mei 2017. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang penyelia kilang didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan video dan gambar lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan aplikasi Google Drive, lima tahun lepas.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman terhadap Ahmad Tarmizi Mohd, 28, yang perbuatannya itu dilihat oleh pengadu di sebuah rumah di Padang Sena, pada 12 tengah malam, 11 Mei 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fazril Sani Mohamed Fadzil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh memohon agar hukuman diringankan memandangkan dia baharu berkahwin dan telah insaf.

Dia membayar denda itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.