Jumlah dagangan Januari cecah RM203 bilion, naik hampir 25%

Jumlah dagangan Januari cecah RM203 bilion, naik hampir 25%

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) berjumlah RM44.8 bilion.

Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi produk elektrik dan elektronik bernilai RM26.2 bilion, diikuti Selangor (RM6 bilion) dan Johor (RM4.8 bilion). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah dagangan Malaysia pada Januari 2022 meningkat 24.8% tahun ke tahun kepada RM203.0 bilion dengan eksport mencatatkan peningkatan 23.5% kepada RM110.7 bilion dan import naik 26.4% kepada RM92.3 bilion.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) berjumlah RM44.8 bilion (40.4% daripada jumlah eksport) pada Jan 2022.

“Di peringkat negeri, Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi produk E&E bernilai RM26.2 bilion (58.5%), diikuti Selangor yang bernilai RM6.0 bilion (13.3%) dan Johor sebanyak RM4.8 bilion (10.7%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Eksport pada Jan 2022 pula meningkat sebanyak RM21.1 bilion (23.5%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri, iaitu Pulau Pinang (RM5.0 bilion), Johor (RM4.0 bilion), Sarawak (RM3.7 bilion), Selangor (RM3.6 bilion), Kedah (RM1.8 bilion), Sabah (RM1.4 bilion), Pahang (RM732.3 juta), Labuan (RM713.8 juta), Terengganu (RM511.0 juta), Kuala Lumpur (RM278.9 juta), Kelantan (RM66.2 juta) dan Perlis (RM33.1 juta).

“Bagaimanapun, eksport menyusut di Perak (RM610.2 juta), Melaka (RM197.9 juta) dan Negeri Sembilan (RM68.9 juta),” kata Mohd Uzir.

Menurutnya, import juga meningkat RM19.3 bilion (26.4%) pada Januari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan import dicatatkan di Selangor (RM4.7 bilion), Pulau Pinang (RM4.0 bilion), Johor (RM3.4 bilion), Kedah (RM2.4 bilion), Kuala Lumpur (RM1.6 bilion), Sarawak (RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (RM673.0 juta), Pahang (RM525.5 juta), Melaka (RM151.9 juta), Perak (RM143.0 juta), Terengganu (RM115.1 juta), Sabah (RM98.2 juta) dan Perlis (RM22.5 juta).

Bagaimanapun, import mencatatkan penurunan di Kelantan (RM162.8 juta) dan Labuan (RM37.9 juta).

Antara lima negeri pengeksport utama menyaksikan Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.3%, diikuti oleh Selangor (19.0%), Johor (18.3%), Sarawak (7.8%) dan Kedah (4.1%).

Sementara itu, bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 27.3%, diikuti oleh Pulau Pinang (24.4%), Johor (18.9%), Kuala Lumpur (7.0%) dan Kedah (6.6%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.