Jika ikutkan kenyataan Tengku Zafrul dan Tony Pua, 1MDB sudah boleh untung RM9.7 bilion, kata Najib

Jika ikutkan kenyataan Tengku Zafrul dan Tony Pua, 1MDB sudah boleh untung RM9.7 bilion, kata Najib

Bekas Perdana Menteri berkata, pengiraan itu berdasarkan jumlah hutang kerajaan bagi membayar semula hutang 1MDB dan nilai tanah Bandar Malaysia.

Najib Razak berkata, pengiraan untung itu dibuat pengiraan itu dibuat berdasarkan jumlah hutang kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang 1MDB dan nilai tanah Bandar Malaysia.
PETALING JAYA:
1MDB boleh mendapat keuntungan sebanyak RM9.7 bilion hari ini jika berdasarkan kepada jawapan Menteri Kewangan dan surat dikemukakan Ahli Parlimen DAP di Dewan Rakyat, kata Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri berkata, pengiraan itu dibuat berdasarkan jumlah hutang kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang 1MDB dan nilai tanah Bandar Malaysia.

Terdahulu hari ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Tengku Aziz berkata, kerajaan masih perlu menampung kekurangan keperluan dana sebanyak RM17 bilion bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua semasa menulis surat ke Parlimen untuk menyangkal perbahasan Najib berkata, tanah Bandar Malaysia cuma dianggarkan bernilai antara RM9 bilion hingga RM12 bilion sahaja hari ini.

“Ya. Untung (bukan rugi RM42 bilion atau RM32 bilion sebagaimana mereka pernah tuduh saya) dan bukan nilai RM140 bilion seperti disebut saya,” katanya di Facebook hari ini.

Najib berkata, jumlah itu belum lagi mengambil kira hasil pendapatan projek TRX bernilai RM40 bilion, penjimatan sebanyak RM50 bilion daripada penyelesaian perjanjian penjana elektrik bebas (IPP) berat sebelah ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat.

Katanya, ia juga belum mengambil kira aset tanah 1MDB di Pulau Pinang bernilai RM2.7 bilion dan tanah di Pulau Indah bernilai RM300 juta.

Najib menjelaskan nilai pembangunan Bandar Malaysia adalah sebanyak RM140 bilion, iaitu sekiranya 1MDB memajukan projek tersebut dan bukan sekadar jual tanah sahaja.

Pua dalam usulnya di Parlimen sebelum ini mahu Najib dirujuk ke Jawatankuasa Khas Pilihan kerana mengingkari arahan Speaker Dewan Rakyat untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa mengelirukan dewan berkaitan isu 1MDB dan kewangan negara termasuk nilai tanah Bandar Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.