
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii memberi amaran sekiranya kuasa progresif terus berpecah, Malaysia akan menjadi negara gagal.
“Tetapi walaupun berdepan detik suram ini, masih ada sekilas harapan ke arah pembaharuan sebenar yang sangat diperlukan negara dan rakyatnya – lebih ramai anak muda menyedari suara mereka penting dalam menentukan masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kekalahan PH dalam PRN Johor adalah “wake-up call” bagi gabungan itu.
Katanya, untuk melakukan perubahan, gabungan itu perlu mengetengahkan perspektif baharu.
“PH perlu meletakkan asas untuk membina gerakan belia yang padu menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).”
Katanya, gerakan itu perlu bersifat inklusif, kreatif dan mampu menyampaikan idea serta dasar mengenai isu membabitkan belia seperti pendidikan, pekerjaan dan perumahan.
“Gerakan seperti itu perlu menjadi usaha bersama untuk mendekati, libat urus, mendengar dan lebih penting memastikan pembabitan belia, bahkan mungkin memegang jawatan penting dalam kepimpinan politik.”
Yii mengakui tugas itu sukar, tetapi ia perlu dilaksanakan bagi membina masa depan lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia.
“Pembaharuan ini bermula dengan kita. Anak muda Malaysia akan menjadi jambatan yang menghubungkan kumpulan berbeza, memberi tenaga kepada mereka menjadi kuasa padu untuk membina masa depan lebih baik,” katanya.