
Ketua Penyelidikan Ilham Centre Yusri Ibrahim, berkata keputusan malam tadi juga hampir sepenuhnya sudah dijangka, di mana BN akan menguasai kebanyakan kerusi di Johor.
“Berdasarkan perbincangan kami di Ilham Centre, keputusan malam ini (Sabtu) selari dengan dapatan jangkaan awal dan kajian di lapangan.
“Faktor besar pertama adalah demografik pengundi berdasarkan tahap sosial, pengundi bandar serta pengundi Cina, seterusnya seperti yang kita jangka ‘turn out’ rendah disebabkan isu kelesuan politik dalam segmen politik,” katanya kepada FMT.

Yusri berkata, peratusan keluar mengundi rendah membuatkan BN-Umno menerima undi daripada pengundi strategik mereka yang setia pada parti.
Sementara itu, Felo Penyelidik Ilham Centre Hamidin Abdul Hamid, berpandangan selain kadar peratusan keluar mengundi rendah, perpecahan undi dalam kalangan parti kecil yang bertanding di PRN Johor juga memberi kelebihan kepada BN.
“Ini (keputusan) memang kita jangka sebelum ini, BN boleh menang mudah di 35 kerusi dan sememangnya ‘turn out’ rendah beri kelebihan kepada BN.
“Satu lagi perpecahan undi dalam kalangan parti kecil dan pertembungan penjuru yang banyak memberikan kelebihan kepada BN,” katanya.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini, BN yang diterajui Umno memenangi PRN Johor untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu.
Menurut keputusan tidak rasmi, BN sudah mencapai majoriti mudah dengan memenangi 29 daripada 56 kerusi DUN Johor dan mendahului lawan di banyak kawasan lain.