
Lebih 40 orang dilihat beratur dari luar pintu pagar pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, Perling manakala ramai pengundi mula memasuki kawasan SK Taman Bukit Kempas selepas jam 8 pagi untuk mengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas.
Seorang guru Matematik Tambahan yang mengajar lebih 30 tahun, Maryam, berkata dia bangun seawal 5.30 pagi untuk menunaikan solat Subuh sebelum keluar rumah bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Dia hadir bersama anak lelakinya, Izmeer, 24, yang dikatakan mengundi buat kali pertama.
Maryam berkata dia amat teruja untuk mengundi namun Izmeer pula tidak begitu teruja dengan proses bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling.
“Saya rasa seperti biasa saja,” katanya apabila ditanya mengenai pandangannya sebagai pengundi kali pertama.

Maryam berkata mereka membuat keputusan untuk datang awal ke SK Taman Sutera bagi mengelakkan orang yang terlalu ramai dan ingin membuang undi secepat mungkin.
Dia berharap kerajaan negeri berikutnya dapat memperuntukkan lebih banyak dana bagi sektor pendidikan bagi memperbaiki kemudahan dan tahap pendidikan di Johor.
Manakala seorang pesara, Tan Sin Yeong berkata dua anaknya baru saja tiba dari Kuala Lumpur semalam untuk mengundi walaupun dia enggan melakukannya.

“Secara jujurnya, saya tidak rasa ingin mengundi. Mereka (ahli politik) semua sama, hanya fikirkan mengenai diri sendiri.
“Tapi, terus terang saya cakap, kita harus mengundi pembangkang. Itu pandangan saya,” kata pengundi di DUN Perling itu.
Tan berkata barisan panjang yang datang mengundi pada kali ini lebih ramai berbanding ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu dan mereka mula memenuhi kawasan terbabit sejak awal pagi lagi.