Pengantin baharu curi tumpuan di pusat undi

Pengantin baharu curi tumpuan di pusat undi

Pasangan itu berkata, walaupun bertembung hari mengundi untuk PRN Johor, ia tidak mengganggu kelancaran majlis perkahwinan mereka.

Pengantin baharu, Faiq Basir menemani Zaimah Nasir mengundi di Dewan Kampung Melayu Majidee di bawah DUN Larkin hari ini.
JOHOR BAHRU:
Sepasang pengantin baharu menjadi perhatian ramai apabila hadir untuk mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Faiq Basir, 29, dan Zaimah Nasir, 27, yang memakai pakaian pengantin berwarna putih tiba di pusat mengundi di Dewan Kampung Melayu Majidee di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin kira-kira 3.30 petang.

Zaimah yang ditemui media selepas mengundi berkata, tarikh perkahwinan mereka ditetapkan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRN Johor.

“Rasa macam artis seketika, tapi saya teruja dan rasa bertuah, sebab saya dapat menunaikan tanggungjawab mengundi sebagai rakyat Johor dalam PRN kali ini pada hari perkahwinan saya,” kata pereka grafik itu.

Beliau berkata, walaupun bertembung hari mengundi, ia tidak mengganggu kelancaran majlis perkahwinannya.

“Majlis berjalan lancar, cuma berlaku kesesakan sikit bila orang nak keluar mengundi menyebabkan ‘parking’ susah, tetapi atas bantuan RELA dan orang ramai, kesesakan itu dapat diselesaikan.”

Suaminya, Faiq pula akan mengundi di DUN Parit Raja.

“Selepas ini, saya akan bergegas ke Parit Raja untuk mengundi, sebelum pusat mengundi tutup 6 petang,” kata pembantu tadbir itu.

Ini adalah kali kedua pasangan itu membuang undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.