Suspek tembak mati pengawal keselamatan disyaki guna pistol polis mati dibunuh

Suspek tembak mati pengawal keselamatan disyaki guna pistol polis mati dibunuh

Ketua Polis Selangor berkata, pistol jenis Walther P99 itu dipercayai dirampas daripada Valentino Mesa yang ditembak mati di Pondok Polis Komuniti Pinggiran USJ pada 31 Ogos 2017.

Arjunaidi Mohamed (kiri) menunjukan pistol jenis Walther P99 yang dirampas, berkaitan rompakan nekad dan tembak berhampiran sebuah bank di Puchong Prima semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penjenayah yang disyaki merompak dan menembak mati pengawal keselamatan di depan sebuah bank, semalam, menggunakan pistol yang dipercayai dicuri daripada seorang anggota polis yang dibunuh pada 2017.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed, berkata pistol jenis Walther P99 itu dipercayai dirampas daripada Valentino Mesa, 29, yang ditembak mati di Pondok Polis Komuniti Pinggiran USJ, pada 31 Ogos 2017.

“Siasatan mendapati pistol berkenaan dirampas daripada anggota kita yang meninggal dunia selepas diserang ketika bertugas.

“Dengan tertangkapnya suspek warga tempatan berusia 38 tahun itu, kita dapat merampas kembali pistol berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau dipetik berkata, suspek dipercayai terbabit dalam enam kes samun bersenjata api yang masih dalam siasatan, selain dipercayai bergerak secara solo.

Pada 31 Ogos 2017, Valentino ditemui meninggal dunia oleh anggota Unit Peronda MPV yang pulang daripada rondaan pada jam 3.25 pagi dengan kesan tembakan pada badan di pondok polis terbabit.

Arjunaidi berkata, suspek dipercayai melepaskan tiga das tembakan dan mengenai dua pengawal syarikat keselamatan yang memindahkan wang berjumlah lebih RM1 juta dari bank berkenaan ke van keselamatan.

Katanya, satu das tembakan mengenai belakang seorang pengawal keselamatan yang maut dalam kejadian itu.

“Dua das tembakan lagi dilepaskan yang mana satu das mengenai tulang rusuk seorang lagi pengawal keselamatan, yang kini mendapat rawatan di Hospital Serdang.

“Suspek melarikan wang dianggar berjumlah RM500,000 dan ketika ditahan di hadapan sebuah bank di Seksyen 20, polis merampas wang tunai RM350,000, sepucuk pistol, 10 butir peluru dan dua kelopak peluru,” katanya.

Katanya, suspek kini direman seminggu bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.