
“Setiap orang bagus. Mereka semua layak untuk menjadi Menteri Besar. Jadi kita serahkan kepada pimpinan tertinggi,” katanya.
Sahruddin adalah calon PN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, iaitu kerusi yang dimenanginya pada 2018 sebagai calon Pakatan Harapan (PH).
Katanya, terdapat strategi di sebalik kelewatan PN menamakan calon Menteri Besarnya tetapi lebih penting ialah calon gabungan itu perlu bekerja keras untuk memenangi sebanyak mana kerusi DUN yang boleh.
“PN ada Bersatu, Gerakan dan PAS. Jadi biarlah pimpinan tertinggi berbincang dan memilih calon terbaik,” katanya.
Sahruddin dilantik sebagai Menteri Besar pada April 2019 susulan peletakan jawatan Allahyarham Osman Sapian yang memegang jawatan itu selama 11 bulan.
Ketika kerajaan negeri PH tumbang pada Mac 2020, Hasni Mohammad daripada Umno mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar menerusi kerjasama baharu melibatkan PN.
Ditanya sama ada beliau terkilan kerana PN tidak menamakannya sebagai calon Menteri Besar, katanya, beliau tidak beranggapan begitu dan kini hanya memberi tumpuan untuk bekerja keras bagi memenangi hati pengundi.
“Apa yang saya pasti ialah orang yang layak memegang jawatan itu akan dinamakan sebagai calon Menteri Besar,” katanya.