
Dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Wan Junaidi berkata, untuk tujuan itu, satu laporan interim sedang disediakan dan akan dibentangkan selepas 15 Mac.
“Jawatankuasa Khas ini sedang melaksanakan fungsinya dalam tempoh enam bulan dan bagi tujuan pelaporan, satu laporan interim sedang disediakan selepas tempoh tiga bulan.
“Laporan tersebut akan dibentangkan selepas 15 Mac 2022 dan laporan akhir jawatankuasa dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Jun,” katanya.
Fadhli meminta kerajaan menyatakan status jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian anggota bomba berkenaan.
Kerajaan pada 8 Okt mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Adib.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Wan Junaidi itu turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Idrus Harun.
Adib, cedera ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia pada 17 Dis 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.
Dia dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali.