‘Kluster mahkamah’ dan 1MDB — pentingkah untuk pengundi Johor?

‘Kluster mahkamah’ dan 1MDB — pentingkah untuk pengundi Johor?

Parti lawan BN tidak sepakat, namun semuanya membangkitkan isu 1MDB dan Najib Razak dengan harapan pengundi akan menolak BN pada hari mengundi esok.

Beberapa warga Johor memberitahu FMT, skandal 1MDB kini bukan lagi isu keutamaan penduduk negeri itu.
JOHOR BAHRU:
Masuk hari ke-13 kempen PRN Johor, pelbagai parti yang bertanding untuk membentuk kerajaan negeri atau sekadar memenangi beberapa kerusi kini memasuki fasa akhir perlumbaan yang akan tamat tengah malam ini.

Satu perkara jelas dalam pilihan raya ini ialah tindakan kebanyakan parti yang bercakaran sesama mereka, namun mengambil pendekatan sama untuk menyelar Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan naratif bahawa mengundi gabungan itu adalah bersamaan dengan menyokong “kluster mahkamah”.

Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim, Perikatan Nasional (Muhyiddin Yassin) dan Pejuang (Dr Mahathir Mohamad) menjadikan kes mahkamah bersabit rasuah terhadap Najib Razak dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai peluru politik utama dalam ceramah masing-masing untuk menafikan Umno-BN kemenangan bagi menubuhkan kerajaan baharu Johor.

Namun naratif yang berulang kali ditimbulkan dalam ceramah dan program “santai” yang dihadiri pemimpin pembangkang itu tidak melemahkan semangat pemimpin BN. Malah Zahid dan Najib dilihat kerap tampil berkempen untuk meraih sokongan bagi pihak calon gabungan itu.

Walaupun telah disabitkan dengan kes SRC International, Najib – yang masih merayu kes itu – tetap mampu menarik kehadiran orang ramai di mana sahaja beliau berkempen, termasuk dalam kalangan masyarakat Cina.

Beberapa warga Johor memberitahu FMT, skandal 1MDB, walaupun merupakan antara faktor utama yang memberi kemenangan kepada PH pada 2018, kini bukan lagi isu keutamaan penduduk negeri itu.

Mereka sebaliknya lebih bimbangkan isu seperti peningkatan kos kehidupan dan mahu fokus diberikan kepada usaha menjana pendapatan.

“Isu itu (1MDB) mungkin hanya 50% relevan bagi saya,” kata Jamaluddin Md Nor ketika disoal pendiriannya mengenai naratif 1MDB yang digunakan parti lain.

Menurutnya, lebih penting jika parti politik dan calon memenuhi janji pilihan raya masing-masing, malah beliau turut menyuarakan rasa kecewanya terhadap pentadbiran PH selama 22 bulan sebelum ini.

Moy Chok Sam, 70, seolah-olah tidak tahu mengenai retorik “kluster mahkamah”, malah menganggap nasib golongan berpendapatan rendah sepertinya tetap sama tidak kira parti mana pun yang membentuk kerajaan esok.

Katanya, beliau hanya mahukan kerajaan adil yang memastikan rakyat dilayan secara saksama.

Azmi Hassan.

Penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara yakin strategi “kluster mahkamah” tidak akan membuahkan hasil untuk parti lawan Umno-BN di Johor sebagaimana ia gagal menghalang kemenangan besar BN di PRN Melaka pada November lalu.

Beliau memberitahu FMT, ini jelas kelihatan melalui sambutan terhadap Najib tidak kira di mana sahaja, seterusnya menunjukkan pengundi “atas pagar” juga mungkin tidak terumpan dengan naratif itu.

Azmi berkata, calon Menteri Besar BN, Hasni Mohammad, antara faktor utama yang menarik pengundi kerana beliau memiliki aura pemimpin yang meletakkan kepentingan Johor mengatasi segalanya.

Ini katanya dapat dilihat menerusi usaha berterusan Hasni menggesa sempadan dengan Singapura dibuka semula.

Selain itu katanya, 3,200 lot tanah yang diperuntukkan untuk generasi kedua peneroka FELDA yang diumumkan Hasni minggu lalu pasti memberi kesan besar memandangkan lebih 20 kawasan Parlimen di Johor merangkumi golongan peneroka.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkongsi pendapat sama mengenai keberkesanan serangan “kluster mahkamah” terhadap BN.

Tambahnya, Hasni melakar beberapa pencapaian dalam tempoh singkatnya memimpin negeri itu, termasuk memutuskan untuk memberi peruntukan sekata kepada semua ADUN.

“Ini dilihat sebagai sesuatu yang menyentuh perasaan rakyat Johor kerana ia bersifat menyatukan, bukan memecahbelahkan. Politik sebegini sangat perlu ketika negara berdepan keadaan yang mencabar pada masa ini.”

Namun, sejauh mana sokongan yang dilihat memihak kepada BN akan diterjemahkan dalam undian hanya akan diketahui malam esok, iaitu setelah warga Johor selesai mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.