Jelas kenyataan bercanggah berkaitan tuntutan Kesultanan Sulu, Peguam Negara digesa

Jelas kenyataan bercanggah berkaitan tuntutan Kesultanan Sulu, Peguam Negara digesa

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, percanggahan itu mampu mencabar martabat dan maruah tentang cara tadbir urus antarabangsa Malaysia di mata dunia jika tiada penjelasan diberikan.

Kenyataan bercanggah itu merupakan isu serius yang boleh menjejaskan kredibiliti Malaysia di mata dunia, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.
PETALING JAYA:
Peguam Negara Idrus Harun digesa memberi penjelasan berhubung kenyataan Jabatan itu sebelum ini bahawa kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan waris kesultanan Sulu, susulan seorang peguam Britain mendedahkan kerajaan telah mengisytiharkan sebaliknya secara bertulis tiga tahun lalu.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata kenyataan bercanggah itu merupakan isu serius yang boleh menjejaskan kredibiliti Malaysia di mata dunia.

“Dakwaan peguam pihak menuntut ‘waris’ Kesultanan Sulu itu, bukan sahaja menampilkan secara serius percanggahan dengan kandungan kenyataan rasmi Pejabat Peguam Negara, malah ia mencabar martabat dan maruah tentang cara tadbir urus antarabangsa Malaysia di mata dunia.

“Hatta, ia adalah terpenting bahawa Idrus Harun sebagai Peguam Negara Malaysia dengan segera memberi balasan dan penjelasan terhadap dakwaan serius itu, bukan sahaja untuk kefahaman kesemua rakyat malaysia, malah untuk perhatian dan fahaman sebenar pihak antarabangsa,” kata Haniff dalam kenyataan di Facebooknya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini berkata Putrajaya tidak mengiktiraf tuntutan pewaris kesultanan Sulu.

Bagaimanapun semalam, peguam yang mewakili keturunan Sultan Sulu menafikan perkara tersebut dengan berkata bekas Peguam Negara Tommy Thomas secara rasmi mengiktiraf pihak yang menuntut dan hak mereka “selama bertahun-tahun”, dan telah terlibat secara langsung dan individu dengan waris.

Kerajaan telah diarahkan oleh mahkamah timbang tara Perancis untuk membayar sekurang-kurangnya RM62.59 bilion (USD14.92 bilion) kepada keturunan Sultan Sulu yang terakhir.

Penimbang tara, Gonzalo Stampa, memutuskan pada 28 Feb bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir wilayah yang kini Sabah.

Pertikaian itu berpunca daripada Surat Ikatan Penyerahan Hak 1878 antara Sultan Sulu ketika itu, Sultan Jamal al Alam, dan Baron de Overbeck, Maharaja Sabah ketika itu, serta Alfred Dent dari Syarikat Borneo Utara British.

Mengikut perjanjian itu, Jamal menyerahkan kedaulatan sebahagian besar Sabah kepada Dent dan Overbeck yang bersetuju bahawa mereka, manakala bakal waris mereka dibayar 5,000 dolar Mexico setiap tahun.

Pada 1936, Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf secara rasmi, Jamalul Kiram II mangkat tanpa waris dan bayaran dihentikan buat sementara waktu sehingga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie menamakan sembilan waris yang dilantik oleh mahkamah pada 1939.

Walaupun Malaysia mengambil alih bayaran ini apabila ia menjadi pengganti perjanjian itu berikutan kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia pada 1963, bayaran ini – bersamaan dengan RM5,300 – dihentikan pada 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.