Tiada portfolio kewangan bagi MB Johor, jika Pejuang menang, kata Mukhriz

Tiada portfolio kewangan bagi MB Johor, jika Pejuang menang, kata Mukhriz

Presiden Pejuang itu berkata, Menteri Besar hanya akan memegang portfolio pengurusan pertanian dan luar bandar bagi memfokuskan kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

Mukhriz Mahathir berkata, portfolio kewangan yang secara tradisi dipegang Menteri Besar akan diamanahkan kepada Exco lain bagi menjamin semak dan imbang lebih baik.
JOHOR BAHRU:
Menteri Besar Johor tidak akan memegang portfolio kewangan, itu antara langkah ditetapkan Pejuang bagi memastikan semak dan imbang dalam kerajaan negeri, jika ia memenangi pilihan raya negeri pada Sabtu ini.

Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir berkata, Menteri Besar hanya akan memegang portfolio pengurusan pertanian dan luar bandar bagi memfokuskan kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

“Portfolio tanah dan galian serta kewangan yang secara tradisi dipegang oleh Menteri Besar akan diamanahkan kepada Exco lain bagi menjamin semak dan imbang yang lebih baik,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, parti itu juga akan memastikan Menteri Besar menyumbang 20% daripada gajinya kepada tabung pendidikan dan kebajikan, cadangan yang turut disenaraikan dalam manifesto parti itu.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri Pejuang juga hanya akan menggunakan kenderaan kerajaan untuk urusan rasmi, bukannya bagi kegunaan peribadi atau politik.

Mukhriz berkata, Pejuang juga akan memfokuskan pertanian moden menggunakan alat, teknologi dan automasi memandangkan ramai rakyat Johor terbabit dalam bidang pertanian.

“Inovasi baharu pertanian dalam bangunan, ‘smart building’, dron, pertanian bersepadu, lestari dan agro ekologi dipergiatkan, khususnya untuk menarik anak muda dalam pertanian berskala kecil atau berimpak tinggi.”

Dalam pada itu, katanya, Pejuang akan mewujudkan pejabat bergerak Menteri Besar ke seluruh Johor untuk memudahkan rakyat menemui Menteri Besar, tanpa perlu mereka ke Kota Iskandar bagi mendapatkan bantuan.

“Agensi kerajaan akan digerakkan untuk bersama menemui rakyat seperti balai polis bergerak, perkhidmatan kesihatan, selain pejabat bergerak Menteri Besar.”

Pejuang bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Johor Sabtu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.