Silap jika anggap orang Melayu berfikiran sempit, kata Setiausaha Agung MUDA

Silap jika anggap orang Melayu berfikiran sempit, kata Setiausaha Agung MUDA

Perkara ini mungkin betul satu masa dahulu tetapi tidak lagi boleh diterima, kata Amira Aisya Abd Aziz.

Orang Melayu kini mencari dasar yang kukuh dan pemimpin yang boleh diharapkan untuk memajukan negara, kata Setiausaha Agung MUDA Amira Aisya Abd Aziz (kiri). (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Setiausaha Agung MUDA Amira Aisya Abd Aziz tidak bersetuju dengan anggapan bahawa orang Melayu berfikiran sempit dan menentang perubahan.

Menyedari bahawa segelintir rakyat di negara ini mempunyai pendapat negatif sebegitu mengenai orang Melayu, beliau berkata, ini mungkin betul suatu masa dahulu tetapi tidak lagi boleh diterima sekarang.

Orang Melayu kini mencari dasar yang kukuh dan pemimpin yang boleh diharapkan untuk memajukan negara, tambahnya.

Amira akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, adalah silap jika menganggap pengundi Melayu sebagai golongan yang mementingkan kaum dan agama sahaja.

“Kebanyakan orang Melayu hanya ingin tahu siapa yang akan menangani keprihatinan lazim mereka. Jadi jika anda dapat perkenal dasar yang boleh bantu mereka, mereka akan percayakan anda,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa penambahbaikan dalam sistem pendidikan bagi memastikan manfaat bagi semua rakyat tanpa mengira kaum.

Sebagai contoh katanya, Universiti Teknologi MARA (UiTM) harus terbuka kepada semua.

“Saya sentiasa percaya perkara ini dan saya tidak takut menyebutnya,” katanya.

Tambahnya, akses sama rata kepada pendidikan tidak bermakna orang Melayu akan kehilangan hak mereka.

“Walaupun UiTM dibuka kepada kaum lain, orang Melayu masih boleh mendaftar seperti biasa.

“Apa yang penting adalah sistem pendidikan harus diseragamkan dan semua orang harus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau juga berkata, pengundi Johor ingin tahu bahawa mereka boleh mempercayai ahli politik yang mereka undi, terutamanya selepas penggulingan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan pembelotan Bersatu dan PKR.

Katanya, MUDA, sebagai parti yang “sangat segar” tanpa bagasi sejarah, mempunyai kelebihan berbanding parti lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.