Sijil anak negeri: Kerajaan Sabah teliti penggantungan ditamatkan

Sijil anak negeri: Kerajaan Sabah teliti penggantungan ditamatkan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, kerajaan perlu memikirkan mekanisme lebih baik untuk mengeluarkan sijil berkenaan kepada mereka yang berketurunan Cina dan Kadazan Dusun Murut.

Masidi Manjun berkata kerajaan negeri Sabah akan meneliti perkara itu bagi menentukan sama ada masanya sesuai. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan rayuan supaya menamatkan penggantungan pengeluaran sijil anak negeri kepada mereka yang berketurunan Cina dan Kadazan Dusun Murut (KDM), seterusnya membolehkan mereka turut menikmati hak sebagai Bumiputera Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, beliau telah menemui Presiden Persatuan Sino Kadazan Dusun Murut Association Johnny Goh, yang sebelum ini membangkitkan perkara itu, bagi membincangkannya.

Goh berkata pembekuan pengeluaran sijil anak negeri pada 1982 itu menyukarkan kehidupan masyarakat Sino-KDM atau anak negeri Sino.

“Sudah pasti kita akan menelitinya, untuk melihat sama ada masanya sesuai untuk menamatkan penggantungan itu,” kata Masidi ketika ditemui hari ini.

Katanya kerajaan perlu kerajaan perlu memikirkan mekanisme lebih baik untuk mengeluarkan sijil berkenaan, yang termasuk dalam bidang kuasa kementerian Masidi. Ini bagi mengelak penyalahgunaan yang pernah berlaku sebelum ini.

“Saya tahu sudah terlalu lama, namun kami masih berusaha membaiki sistem. Saya beri jaminan kami sedang berusaha sebaiknya, malah sebenarnya berhubung dengan ramai pihak berkepentingan untuk memudahkan kami apabila memutuskan bila penggantungan itu akan ditamatkan.

“Apa yang penting adalah supaya mewujudkan langkah dan syarat lebih ketat bagi proses permohonan dan kelulusan… untuk mengurangkan penyalahgunaan.”

Goh menggesa supaya penggantungan itu ditamatkan selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Tafsiran (Pindaan) 2022 yang antara lain menganggap anak hasil perkahwinan campur sebagai anak negeri, sekalipun hanya seorang daripada ibu bapanya adalah anak negeri.

Di bawah peruntukan khas yang diluluskan oleh Tunku Abdul Rahman semasa beliau menjadi Perdana Menteri, seseorang yang dikenali sebagai komuniti Sino-KDM boleh menuntut status anak negeri jika individu itu adalah anak kepada salah seorang ibu bapa berasal dari Sabah dan hidup sebagai penduduk asal.
Sijil anak negeri membolehkan pemegangnya menikmati hak istimewa Bumiputera Sabah seperti memperoleh tanah, membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), serta memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di bawah kuota Bumiputera.

Kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) menghentikan pengeluaran sijil itu selepas mendapati mereka yang bukan orang asli Sabah mendapatkan sijil itu menerusi penipuan untuk memperoleh tanah asal dan faedah Bumiputera yang lain.

Sementara itu, Goh memberitahu FMT beliau mengalu-alukan kenyataan Masidi itu, dan menyuarakan harapan masalah dihadapi masyarakat Sino-KDM akhirnya diselesaikan selepas penantian 40 tahun.

Beliau menggesa kerajaan negeri berbincang dengan persatuannya mengenai mekanisme baharu bagi mengeluarkan sijil berkenaan untuk mengenal pasti sebarang masalah yang mungkin berbangkit.

Tambahnya, masyarakat Sino-KDM menganggap tidak adil apabila majoriti daripada mereka terpaksa menanggung beban akibat tindakan tidak bertanggungjawab individu tertentu pada masa lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.