
Victor Goh, seorang DJ popular yang berpangkalan di Kuala Lumpur berkata, ramai pelancong akan melihat ketersediaan aktiviti santai ketika membandingkan destinasi pelancongan.
Industri hiburan katanya, menyumbang sebahagian besar hasil pelancongan negara.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu pemberita semalam, kelab malam masih dianggap berisiko tinggi untuk penularan Covid-19 dan akan menjadi satu-satunya jenis perniagaan yang tidak dibenarkan dibuka semula apabila negara beralih ke fasa endemik pada 1 April.
Goh berkata, keputusan itu mungkin didorong oleh politik untuk memuaskan hati golongan konservatif.
Apabila ditanya bagaimana beliau bertahan, Goh berkata, walaupun penggiat industri hiburan malam tidak dapat beroperasi, mereka sedang berusaha menyediakan hiburan mengikut apa yang dibenarkan.
“Masih ada harapan bagi industri ini. Jika kelab malam tidak dibenarkan beroperasi, mungkin hiburan di luar premis pada waktu siang boleh menjadi alternatif,” katanya.
Godwin Pereira, pengasas Kyo, sebuah kelab malam di hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur berkata, beliau tidak terkejut dengan pengumuman Khairy.
“Malang bagi pengusaha seperti saya yang masih tidak dapat beroperasi,” katanya.
“Kerajaan tidak sedar rakyat perlu kembali bekerja. Saya sedih yang kami masih terpaksa tunggu dan tanggung lebih banyak kerugian.”
“Namun sekurang-kurangnya, kita sedang menuju ke arah yang positif dengan pembukaan sempadan.
“Harap-harap kerajaan akan menyemak semula keputusannya sebulan selepas sempadan dibuka.”
Kelab malam tidak dibenarkan beroperasi sejak Mac 2020.