Peniaga disabit kesalahan membunuh, dibicara semula

Peniaga disabit kesalahan membunuh, dibicara semula

Hakim perbicaraan telah membuat 'kesilapan yang tidak boleh diubati' dengan menghantarnya untuk menjalani rawatan psikiatri ketika pendakwaan masih berjalan.

Khiew Bu Poh, 50, didapati bersalah membunuh Wong Fong Sing, 48, di sebuah premis perniagaan di Jalan Pelaga di Taman Cheras, Kuala Lumpur, pada 2016.
PETALING JAYA:
Seorang pemilik kedai permainan video terlepas daripada hukuman gantung dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan kesalahan membunuh seorang ahli perniagaan lima tahun lalu.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan memerintahkan Khiew Bu Poh, 50, dibicarakan semula kerana hakim perbicaraan membuat “kesilapan yang tidak boleh diubati” dengan menghantarnya untuk menjalani rawatan psikiatri ketika pendakwaan masih berjalan.

Hakim Abdul Rahman Sebli, yang bersidang bersama panel tiga hakim berkata, nota prosiding menunjukkan peguam Khiew membuat permohonan pada permulaan perbicaraan pada 2017.

Rahman, yang bersidang bersama hakim Zabariah Mohd Yusof dan Rhodzariah Bujang berkata, hakim terkhilaf apabila meneruskan perbicaraan, yang menyaksikan 11 saksi pendakwaan dipanggil, sebelum membuat keputusan berhubung permohonan itu.

Beliau berkata, hakim sepatutnya mengingatkankan dirinya dan bertindak seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Kesilapan itu bukan semata-mata penyelewengan tetapi menyalahi undang-undang. Rayuan dibenarkan dan sabitan diketepikan,” katanya.

Rahman berkata, laporan perubatan daripada pengarah Hospital Bahagia juga tidak dikeluarkan.

Beliau berkata, kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk didengar oleh hakim baharu.

Mahkamah juga menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.

Khiew didapati bersalah membunuh Wong Fong Sing, 48, di sebuah premis perniagaan di Jalan Pelaga di Taman Cheras, Kuala Lumpur, pada 6.12 pagi, 19 Ogos 2016.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadapnya pada 2019 dan Mahkamah Rayuan mengesahkan sabitan itu pada tahun berikutnya.

Dia dikatakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah Wong dari jarak dekat dalam tempoh 13 saat seperti yang dirakam oleh kamera televisyen litar tertutup di premis itu.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa permohonan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) untuk menghantar tertuduh menjalani penilaian psikiatri.

“Beliau (hakim perbicaraan) mengekalkan keputusannya mengenai permohonan itu dan membuat keputusan selepas 11 saksi dipanggil memberi keterangan,” katanya, selain menambah bahawa pendekatan yang betul ialah membuat keputusan sebelum perbicaraan bermula.

Hisyam, yang dibantu oleh Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud berkata, perbicaraan semula perlu dijalankan sekiranya mahkamah menerima bahawa berlakunya kegagalan prosedur.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad berhujah Seksyen 342 dan 343 CPC tidak penting dalam kes ini kerana tertuduh layak dibicarakan dan mampu membela dirinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.