
Tertuduh, Muhammad Ariff Abdullah, 28, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di dua mahkamah berasingan bagi setiap tuduhan, masing-masing di hadapan majistret Nurul Ainna Ahmad dan majistret Nadhirah Abdul Rahim.
Bagi tuduhan di hadapan Nurul Ainna, Muhammad Ariff yang berasal dari Bachok, Kelantan dituduh memandu sebuah lori dengan nombor pendaftaran DBU 9556 dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Khairul Azwan Maula Hashim, 31 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di KM92.8 Lebuhraya PLUS (arah selatan) di dalam daerah Kuala Muda pada 2.40 petang hari tersebut.
Sementara itu, di hadapan Nadhirah pula, Muhammad Ariff dituduh dengan kesalahan sama sehingga menyebabkan kematian Mohammad Amirul Ismail, 28.
Bagi kedua-dua tuduhan tersebut, dia didakwa bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Nur Hamizah Mat Shah, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Haslina Hasbullah.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap tuduhan, namun Siti Haslina memohon jumlah yang lebih rendah memandangkan anak guamnya berpendapatan rendah dan perlu menyara ibunya.
Majistret kemudian menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM9,000 dan RM8,000 bagi setiap tuduhan. Tarikh sebutan semula kes adalah pada 28 Mac.
Pada 7 Mac, dua penunggang motosikal maut manakala tujuh yang lain cedera setelah mereka dirempuh sebuah lori dari arah belakang ketika sedang berteduh daripada hujan lebat di bawah jejambat di lokasi tersebut.