Pasangan berbeza negara sambut pembukaan sempadan dengan nafas lega

Pasangan berbeza negara sambut pembukaan sempadan dengan nafas lega

Ramai pasangan yang terpisah selama hampir 2 tahun akibat sekatan perjalanan kini dapat bersatu semula apabila sempadan Malaysia dibuka pada 1 April.

Warga India, Ajay Rathi, yang memasuki Malaysia bawah program MTP, dan tunangnya dari Sabah, Lyna Karim akan berkahwin tidak lama lagi.
PETALING JAYA:
Bagi pasangan dua negara yang terpisah akibat sekatan perjalanan Covid-19, pembukaan semula sempadan pada 1 April akan menamatkan mimpi ngeri mereka berjauhan dengan insan tersayang.

Selepas hampir dua tahun terpisah, Nurul, seorang rakyat Malaysia, dan tunangnya, warga British yang berpangkalan di Arab Saudi, akhirnya akan dapat melangsungkan perkahwinan, sesuatu yang tidak dapat dilakukan mereka setahun lepas.

“Saya sangat terkejut dan gembira mendengar tentang pembukaan semula sempadan. Selepas lama menunggu, akhirnya saya dapat berjumpa dengan tunang,” katanya kepada FMT.

November lepas, FMT melaporkan nasib beberapa individu seperti Nurul, yang terpaksa membatalkan perkahwinan pada 2020 kerana tunangnya tidak dapat memasuki negara ini disebabkan “lockdown”. Beliau juga tidak dapat pergi menemui tunangnya kerana mempunyai kewajipan ke atas keluarganya di sini.

Sejak pengumuman Perdana Menteri pada Selasa bahawa sempadan akan dibuka semula pada 1 April apabila negara beralih ke fasa endemik, pasangan itu pantas melaksanakan rancangan untuk berjumpa pada Mei dan berkahwin pada Jun.

Kisah Nurul tidak jauh berbeza daripada banyak yang ditampilkan dalam kumpulan Facebook “Love Is Not Tourism”, yang menjadi sebahagian daripada gerakan akar umbi sedunia bertujuan menyatukan kembali pasangan dan keluarga yang terpisah akibat sekatan perjalanan dan penutupan sempadan.

Pengasas bersama kumpulan itu, yang mahu dikenali sebagai Elise berkata, langkah kerajaan untuk membuka semula sempadan disambut dengan nafas lega oleh ramai ahlinya.

“Semua orang dalam kumpulan ini teruja mengenainya. Baguslah pasangan dan keluarga dapat bersatu semula dengan lebih mudah tak lama lagi,” katanya kepada FMT.

Walaupun kebanyakan ahli kumpulan itu berasa girang dengan keputusan kerajaan, namun bagi segelintir yang lain, ia sedikit terlewat.

“Pada mulanya, kami tak percaya. Ingatkan ia hanya rancangan untuk memperdaya kami pada Hari April Fool,” kata warga India, Ajay Rathi, kepada FMT.

“Keputusan kerajaan ini terlewat, tetapi saya rasa lebih baik lewat daripada langsung tiada,” kata Ajay, yang berjaya masuk ke negara ini pada Februari melalui MyTravelPass (MTP) selepas 17 kali mencuba. Beliau kini siap untuk berkahwin dengan tunangnya dari Sabah pada pertengahan Mac.

Walaupun Jabatan Imigresen melancarkan MTP pada Oktober 2020 bagi memudahkan proses permohonan permit masuk atau keluar semasa wabak, banyak permohonan pasangan dan anak-anak warga asing ditolak.

Novita Andriyana, yang masuk ke Malaysia melalui gelembung perjalanan Langkawi, bersama suaminya, rakyat Malaysia William Wong dan anak mereka, Chloe.

Ini berlaku kepada warga Indonesia Novita Andriyana, yang akhirnya menggunakan cara lain untuk bersatu dengan tunangnya, rakyat Malaysia William Wong, selepas 20 kali percubaannya gagal.

“Kami putus asa memohon MTP, jadi kami buat keputusan guna gelembung perjalanan Langkawi,” katanya.

Program rintis itu membenarkan warga asing yang lengkap vaksinasi sepertinya memasuki Malaysia, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) seperti perlu tinggal di Langkawi selama tujuh hari dahulu dan menjalani ujian Covid-19 secara berkala.

“Saya gembira mendengar tentang pembukaan semula sempadan, terutamanya kerana banyak pasangan lain masih terpisah. Ini berita baik untuk mereka,” kata Novita, yang berkahwin dengan Wong Februari lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.