
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, pertanyaan berkenaan akan diajukan oleh Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang meminta Perdana Menteri menjelaskan secara terperinci isu tersebut, sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Turut menjadi tumpuan ialah soalan sama ada kerajaan akan mengkaji semula dan mengurangkan harga siling pelitup muka dan kit ujian kendiri, serta isu harga siling untuk oximeter dan penyukat suhu yang akan diajukan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Dalam sesi soal jawab pula, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dijadual bertanya kepada Perdana Menteri berhubung perkembangan terkini siasatan terhadap warganegara Malaysia yang mempunyai akaun luar pesisir seperti yang telah dinamakan bermula dengan laporan Offshore Leaks 2012 sehingga Pandora Papers 2021.
Isu berkaitan status jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pula akan dibangkitkan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta Perdana Menteri menjawab soalan itu hari ini.
Selepas selesai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung semula dengan sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.