
Penduduk di 40 kediaman itu menetap sebagai setinggan walaupun beberapa kali memohon dan turun naik Pejabat Tanah serta merayu kepada kerajaan negeri.
Malah ada juga antara mereka yang telah meninggal dunia tanpa sempat menikmati geran tanah sendiri, selain tidak ketinggalan juga yang putus harapan kerana terlalu lama menunggu sesuatu yang tidak pasti.
Minah Hashim, 80, berkata, penduduk yang tinggal di kampung itu kini sudah memasuki generasi ketiga namun geran tanah masih belum dimiliki.

Beliau sendiri adalah antara individu paling awal yang membuka kawasan itu bersama arwah suaminya pada 1975 dengan menanam kelapa ketika nama asal kampung itu adalah Ulu Sungai Kim Kim sebelum ditukar kepada Kampung Bukit Pulai.
“Saya sudah lama perjuangkan benda ini. Sampai satu tahap putus harapan dan tidak mahu hadap lagi, letih. Saya sudah nekad kalau mati saya serah kepada anak-anak kalau mereka nak terus mohon di Pejabat Tanah.
“Sebelum ini kerajaan janji, janji, janji. Berapa kali janji nak beri, tak beri-beri,” katanya ketika ditemui FMT, dengan menambah bahawa hanya penduduk yang menyokong parti tertentu mudah untuk mendapat geran.

Noorma Noor, 55, berkata, daripada lebih 40 rumah di kampung itu hanya lima penduduk mendapat geran, sementara yang lain masih berstatus dalam permohonan. Menurutnya, antara alasan yang diberikan pihak berwajib adalah permohonan gagal diluluskan kerana kawasan itu kerap menghadapi banjir.
“Undi kami mereka mahu, tapi geran berapa lama kami minta tak dapat-dapat. Banyak janji kosong. Isu ini sudah lama, tiap kali menjelang pilihan raya, janji nak beri geran selalu dibuat tapi tak dapat-dapat. Tunailah janji kesian orang kampung. Kena ingat tak ada rakyat, tak adalah kerajaan,” katanya.
Selain itu katanya, kampung itu juga tiada kemudahan seperti tempat lain.

“Di sini tiada padang bola, kalau anak-anak nak main kena menumpang taman orang lain. Kami nak hidup macam orang lain, kita rakyat Malaysia bukan warga asing,” katanya.
Ahmad Ali, 58, yang tinggal di kawasan itu sejak 1992 mendakwa penduduk terpaksa meminjam geran pihak lain untuk memohon bekalan elektrik dan air ke rumah mereka.
Isu petempatan setinggan tidak hanya melibatkan Kampung Bukit Pulai sebaliknya turut meliputi kawasan lain yang telah diselesaikan oleh kerajaan.
Sebelum ini kerajaan Johor di bawah pimpinan Mohamed Khaled Nordin menyelesaikan masalah di beberapa kawasan dengan menyediakan petempatan selesa sebagai usaha mencapai status setinggan sifar dalam tempoh lima tahun, khususnya bagi perkampungan yang dibina di atas tanah milik kerajaan negeri.