
Penyelidik, Murray Hunter dalam surat kepada FMT pada 28 Feb lalu mendakwa seluruh rantaian bekalan ayam kini dalam krisis susulan kerajaan memanipulasi harga.
MAFI berkata, artikel tulisan Hunter tidak disokong dengan fakta yang tepat.
“Kementerian berpandangan artikel tersebut tidak disokong dengan fakta yang tepat.
“Ia boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha-usaha kerajaan dalam mengatasi isu kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan dan mengawal kenaikan harga jualan runcit ayam pada masa kini,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian itu turut menafikan dakwaan Hunter bahawa permit yang diluluskan (AP) untuk mengimport ayam bulat diberikan secara perlahan, tidak adil dan tertakluk kepada bayaran dan syarat meragukan.
“Permohonan untuk mendapatkan AP boleh dibuat oleh mana-mana syarikat dan akan diberi kelulusan jika ia memenuhi syarat-syarat AP yang telah ditetapkan.
“Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memohon AP ini,” katanya.
Katanya, kerajaan kini giat melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif bagi memastikan industri ternakan ayam terus kekal berdaya saing.
Jelas MAFI, peningkatan mendadak penggunaan daging ayam dan telur terutama dalam sektor komersial ekoran penamatan perintah kawalan pergerakan (PKP) memberi kesan kepada kekurangan bekalan daging ayam dan telur di pasaran.
Mengenai dakwaan Hunter bahawa langkah Putrajaya membenarkan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerajui pembangunan sektor itu, yang menyebabkan pembaziran dan rasuah, kementerian itu berkata, kerajaan sebenarnya mensasarkan peningkatan prestasi pengeluaran pertanian.
“GLC yang mengusahakan tanah ladang turut memberi kesan positif kepada peningkatan pengeluaran negara,” katanya.