2 sindiket Ah long tumpas, polis tahan 44 individu

2 sindiket Ah long tumpas, polis tahan 44 individu

Mereka ditahan terdiri 43 lelaki dan seorang wanita berusia 16 hingga 54 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din, berkata sindiket sasarkan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta tawarkan faedah 10 hingga 30% peratus seminggu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menumpaskan dua sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan penahanan 44 individu termasuk ketua sindiket dalam beberapa operasi di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din, berkata selain penahanan 43 lelaki dan seorang wanita berusia 16 hingga 54 tahun itu, polis turut merampas 17 kenderaan, 107 telefon bimbit, 55 keping kad ATM, 27 keping cek, 17 komputer riba serta wang tunai berjumlah RM732,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini mula beroperasi pada awal tahun lalu yang menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta dengan kadar faedah pinjaman antara 10 hingga 30% seminggu.

“Mana-mana peminjam yang gagal melakukan pembayaran balik akan diberi tekanan berbentuk ugutan dan perbuatan khianat terhadap harta benda peminjam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya membuka 13 kertas siasatan antaranya mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 29 (B) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 iaitu menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen dan membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana memberi ancaman ugutan jenayah.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan tawaran iklan pinjaman wang sekali gus memastikan hanya membuat pinjaman daripada syarikat berlesen.

“Orang ramai boleh membuat semakan syarikat pinjaman wang berlesen menerusi laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di www.kpkt.gov.my,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.