
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) mengulangi sekatan ke atas SDP diteruskan, walaupun Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin hari ini berkata, “tiada sekatan” dikenakan terhadap produk SDP oleh agensi AS itu.
“Pernyataan itu tidak benar. Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) Sime Darby masih berkuat kuasa,” kata jurucakap CBP menerusi e-mel kepada FMT.
Terdahulu, Zuraida dilaporkan berkata, isu SDP dalam proses “penyelesaian” sambil menambah “Untuk Sime Darby dah tiada (sekatan)”.
Pada Disember 2020, CBP mengumumkan sekatan pengimportan minyak sawit dan produk mengandungi minyak sawit keluaran SDP serta anak syarikatnya susulan dakwaan amalan buruh paksa.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, siasatan mendapati tiada sebarang pelanggaran amalan buruh paksa berdasarkan 11 petunjuk yang digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Bekas Menteri, Dr Xavier Jayakumar pula meminta AS dan United Kingdom tidak menasihati Malaysia berhubung isu buruh paksa kerana sejarah membuktikan dua negara itu mempunyai rekod lebih buruk.
Beliau juga mendakwa sekatan AS terhadap minyak sawit keluaran SDP adalah “permainan orang kulit putih” untuk menghalang Malaysia daripada mengeksport komoditi itu ke luar negara.
Jurucakap SDP berkata, ia menjangkakan laporan penilaian bebas berhubung isu buruh paksa akan diperolehi menjelang hujung bulan ini.
“Kami juga berterusan mengadakan libat urus dengan CBP,” kata jurucakap itu.