
Dalam pekeliling diedarkan kepada sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan, Nor Zamani Abdol Hamid berkata program itu perlu kerana mereka adalah murid prasekolah terkesan dengan perintah kawalan pergerakan Covid-19, yang memaksa mereka menghadiri kelas dalam talian bagi tempoh panjang sejak dua tahun lalu.
Dikenali sebagai Program Transisi Tahun Satu 2.0, katanya, program itu bertujuan membantu kanak-kanak berdepan cabaran yang mungkin timbul akibat peralihan daripada pembelajaran di rumah dan tadika sepanjang pandemik kepada pendidikan formal.
“Program itu yang berkuat kuasa dari minggu pertama tahun akademik bermula 21 Mac ini akan dijalankan dalam dua fasa, dengan setiap fasa dilaksanakan selama dua minggu,” katanya dalam pekeliling dilihat FMT.
Nor Zamani berkata, fasa pertama yang dikenali sebagai tempoh penyesuaian memfokuskan sosio-emosi, kognitif dan aspek fizikal dengan objektif meningkatkan keyakinan murid serta menggalakkan interaksi sosial positif.
Fasa kedua yang dikenali sebagai fasa persediaan, katanya, bertujuan memperbetulkan situasi dengan memastikan murid menguasai pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk melanjutkan pendidikan.
Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim mengalu-alukan langkah itu yang disifatkan perlu untuk menilai murid agar guru mengetahui tahap mereka dan bertindak sewajarnya.
“Kanak-kanak belajar sangat cepat bermula dari enam hingga tujuh tahun, apabila kecenderungan mereka untuk menyerap berada di tahap kemuncaknya.
“Mereka bersemangat untuk belajar dan kita perlu segera membimbing mereka segera untuk mengatasi sebarang kepincangan dalam pembelajaran.”
“Bukan setakat kandungan program itu sendiri penting, tetapi lebih kepada bagaimana ia dilaksanakan untuk mencapai objektif dikehendaki. Program itu perlu dijalankan segera dan dalam persekitaran menyeronokkan,” katanya kepada FMT.