
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, ini khasnya dalam sektor pelancongan antarabangsa.
Beliau berkata, pelancong melihat negara mana yang telah membuka sempadan sepenuhnya dan negara mana yang meneruskan sekatan pandemik.
“Malaysia dalam kategori kedua memandangkan terdapat sekatan seperti pemakaian pelitup muka dan penggunaan aplikasi MySejahtera, termasuk untuk pengunjung asing.
“Akan ada banyak pihak berhati-hati dan pemulihan perlahan dalam pelancongan antarabangsa sepanjang tahun ini,” katanya kepada FMT.
Williams berkata, sekatan, ujian dan SOP tidak mempunyai kesan nyata kerana kadar pematuhan telah merosot dan orang ramai belajar untuk hidup dengan Covid-19.
“Sempadan harus dibuka semula tanpa sekatan dalam kehidupan seharian untuk memberi kesan segera.”
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah berkata, pembukaan semula sempadan akan mempercepatkan pemulihan ekonomi.
“Ia akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan memberi keyakinan kepada perniagaan.”
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berkata, pembukaan semula sempadan akan menjadikan sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara boleh dicapai.
“Ekonomi kita berkembang pada kadar sederhana 3.1% tahun lalu berbanding kemerosotan 5.6% pada 2020, terutamanya hasil daripada lanjutan ‘lockdown’ dan penutupan sempadan kita secara berterusan.
“Dengan kelonggaran sekatan seperti kuarantin mandatori, matlamat kita untuk pertumbuhan KDNK 5.5% hingga 6% pada 2022 kini lebih realistik,” katanya Pengerusi SAMENTA, William Ng dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengumuman itu memberi manfaat terbesar kepada sektor pelancongan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini, selepas ditutup selama dua tahun sejak perintah kawalan pergerakan pertama pada Mac 2020.