JAS P Pinang sita sawah jadi tapak lupus sampah haram

JAS P Pinang sita sawah jadi tapak lupus sampah haram

Pengarah JAS Pulau Pinang berkata, kerja pembersihan yang bermula hari ini dijangka selesai dalam tujuh hari dengan anggaran awal kos pelupusan sekitar RM500,000.

Hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang mendapati sawah seluas 0.4 hektar ini dijadikan tapak pelupusan sampah haram seperti sisa pepejal, binaan dan disyaki sisa buangan terjadual. (Gambar JAS Pulau Pinang)
BUKIT MERTAJAM:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menyita kawasan sawah di belakang perumahan Desa Bukit Merah, Jalan Kubang Semang di sini, kerana dijadikan tapak pelupusan sampah haram dan mengarahkan pihak terlibat membuat pembersihan segera.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, maklumat awal diterima pihaknya terdapat pembakaran terbuka di situ, sebelum siasatan mendapati sawah seluas 0.4 hektar itu dijadikan tapak pelupusan sampah haram seperti sisa pepejal, binaan dan disyaki sisa buangan terjadual.

“Siasatan lanjut di tapak itu menemui 30 beg mengandungi sisa industri yang dilupuskan secara haram di kawasan sawah padi dan sampel bahan buangan tersebut telah diambil, seterusnya dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Lanjutan itu, JAS Pulau Pinang menyiasat beberapa premis di negeri ini dan mengenal pasti premis pengeluar buangan tersebut serta beberapa pihak berkaitan, iaitu tuan punya tanah, penyewa dan beberapa pihak lain yang mungkin terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua pihak yang dikenal pasti telah dipanggil untuk beberapa siri rakaman percakapan serta siasatan lanjut, dan menerusi beberapa perbincangan dengan pihak terlibat, premis pengeluar dan penyewa bersetuju menanggung kos pembersihan dan pelupusan serta lain-lain kos berkaitan.

Beliau berkata, semua sisa yang tercemar dengan sisa buangan terjadual akan dihantar ke tapak pelupusan akhir di Kualiti Alam Sdn Bhd, manakala pemilik tanah diarah melupuskan sisa pepejal biasa di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Burung.

Katanya, mereka yang terlibat juga memberi kerjasama melantik Kualiti Alam Sdn Bhd bagi menguruskan semua kerja pembersihan dan pelupusan buangan itu, yang dikategorikan buangan terjadual SW204 dan SW408.

“Semua kerja pembersihan bermula hari ini dan dijangka selesai dalam tujuh hari dengan anggaran awal kos pelupusan sekitar RM500,000, namun kos tersebut boleh meningkat jika lebih banyak buangan dijumpai apabila korekan dibuat.”

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka berhubung kes pelupusan haram itu di bawah Seksyen 24B dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dimaklumkan mengenai kewujudan tapak pelupusan haram di kawasan sawah itu.

“Berdasarkan siasatan kami, pemilik dan penyewa tanah sawah itu telah melakukan tambakan tanah menggunakan sisa buangan bagi tujuan pembinaan bangunan tanpa sebarang kelulusan MBSP.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.