
Zahid berkata, beliau dan BN tidak pernah mencalonkan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu atau individu lain selain Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar.
“Ada seorang ketua penerangan sebuah parti (Wan Saiful) yang tak ada masa depan, kononnya saya memberikan dokongan kepada calon BN DUN Rengit (Puad) untuk jadi MB, orang itu (Wan Saiful) mimpi ke apa, saya umum bahawa ‘poster boy’ calon MB kita jika atas perkenan Tuanku ialah Hasni.
“Tidak ada calon lain sebab apa yang saya cakap itu kita akan buat, kita tahu kuasa melantik MB kuasa Tuanku, tetapi jangan lagakan saya, lagakan saya kononnya saya nak Puad, lagakan saya kononnya saya nak orang itu dan orang ini, tidak sama sekali,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama pengundi DUN Kota Iskandar di Bilik Gerakan BN Parlimen Iskandar Puteri.
Katanya, keputusan memilih Hasni tidak dibuat secara individu sebaliknya ia keputusan parti.
“Ia adalah keputusan parti, kita bawa dalam Biro Politik, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bincang dalam Perhubungan Negeri, sebab kita tahu Hasni mempunyai rekod terbaik,” katanya sambil menyifatkan lawan BN terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan MUDA tidak berani menamakan calon MB.
Semalam Wan Saiful menerusi catatan Facebook mendakwa semasa ke Rengit baru-baru ini, beliau mendengar khabar bahawa Puad sudah beberapa minggu giat melobi jawatan Menteri Besar bagi menggantikan Hasni sekiranya BN menang.
“Khabarnya, antara hujah yang digunakan adalah sebagai ahli MKT yang dilantik sendiri oleh Zahid, dia boleh membawa Umno Johor lebih rapat dengan agenda Presiden Umno itu berbanding Hasni.
“Puad dikatakan telah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Zahid dan Najib Razak, maka sekarang adalah masa untuk menerima ganjaran,” kata Wan Saiful.