Guru sementara runsing tak layak diserap ke jawatan tetap

Guru sementara runsing tak layak diserap ke jawatan tetap

Kira-kira 300 guru sementara diberitahu mereka tidak layak dipanggil temuduga bagi jawatan tetap kerana tidak menepati syarat ditetapkan.

Guru sementara terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM5,000 bagi mengikuti pengajian Diploma Pendidikan di luar waktu bekerja selepas mula berkhidmat.
PETALING JAYA:
Kira-kira 300 guru sementara yang telah mengajar selama tiga tahun bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah kerajaan kini diberitahu mereka tidak layak untuk dipanggil temu duga untuk jawatan tetap.

Ini disebabkan mereka tidak menepati syarat Band 5 dalam ujian Malaysian University English Test (MUET) biarpun terpaksa melalui kesukaran untuk mengikuti pengajian Diploma Pendidikan secara dalam talian oleh institusi pengajian tinggi (IPT) kerajaan akibat pandemik Covid-19.

“Daripada 400 guru sementara di seluruh negara, hanya 70 sahaja yang dipanggil untuk temu duga minggu lalu. Kami ingin menduduki ujian MUET, tetapi hanya calon sekolah sahaja dibenarkan disebabkan pandemik sejak dua tahun lalu,” kata seorang guru sementara kepada FMT.

“Ia dibuka kepada semua pada Januari tahun ini tetapi sudah terlambat. Ujian selepas ini hanya diadakan pada Jun dan pada masa itu kontrak kami telah pun tamat.

“Kebanyakan kami memperoleh Band 4 selain ijazah perguruan, diploma (pendidikan) dan tiga tahun menjadi guru sementara. Kami sepatutnya lebih daripada layak.”

Katanya, mereka terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM5,000 bagi mengikuti program diploma di luar waktu bekerja.

Guru itu berkata, mereka terpaksa mewujudkan sebuah kumpulan WhatsApp dan menulis surat rayuan kepada Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) supaya dilanjutkan kontrak yang akan tamat bulan depan.

Katanya, ketika mula berkhidmat, mereka dijanjikan untuk diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan selepas kontrak sekiranya berjaya menamatkan pengajian Diploma Pendidikan.

“Sekurang-kurangnya kami meminta mereka untuk menyerap kami secara tetap dengan syarat kami akan memperoleh Band 5 dalam ujian MUET atau kelayakan lain yang setara seperti Rangka Kerja Rujukan Bahasa Eropah (CEFR) dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Baru-baru ini, SPP membuat pengambilan 18,000 guru baharu secara “one-off” dan mereka dijangka melapor diri di sekolah masing-masing sebaik sesi dibuka semula pada 22 Mac.

Kumpulan guru sementara yang diambil untuk mengajar di sekolah kerajaan pada 2019 itu telah dimaklumkan oleh SPP pada 28 Feb bahawa mereka tidak memenuhi syarat pengambilan untuk ke jawatan tetap.

SPP menetapkan guru terbabit sama ada memperolehi Band 5 dalam ujian MUET atau C1 dalam CEFR untuk layak dilantik ke jawatan tetap.

Pada Januari, Menteri Pendidikan Radzi Jidin menyuarakan sokongan terhadap kumpulan itu selepas mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi SPP yang baharu, Mazlan Yusoff.

“Perbincangan melibatkan guru sementara yang dilantik pada 2019 yang kontrak mereka akan tamat pada April,” katanya dalam hantaran di Facebook.

“Saya meminta SPP mempercepatkan proses temu duga untuk kumpulan ini.”

FMT cuba mendapatkan ulasan Kementerian Pendidikan berhubung isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.