
Menurut Lim, Tan berkata dalam laporan The Star bahawa Lim “tidak berani menafikan” dakwaan bahawa beliau telah meminta SJK(C) Kuek Ho Yao menukar namanya sebagai syarat untuk mendapat peruntukan RM4 juta semasa menjadi Menteri Kewangan.
“Ini palsu. RM4 juta itu diserahkan walaupun pembinaan belum dimulakan.
“Sebagai Menteri Kewangan, saya tidak pernah meletakkan syarat SJK(C) Kuek Ho Yao perlu menukar namanya untuk menerima peruntukan sebanyak RM4 juta daripada saya. The Star sepatutnya menerima akibat kerana menjadi penyebar berita palsu,” katanya dalam kenyataan.
Lim sebelum ini meminta Tan dan The Star menarik balik laporan itu dan memohon maaf.
Katanya, MCA menyebarkan pembohongan ketika “terdesak untuk mendapatkan semula kerusi mereka yang kalah dalam pilihan raya umum 2018”.
“Saya tiada pilihan selain menyaman di mahkamah apabila pembohongan ini dibuat berulang kali secara bersiri dan perlahan-lahan dipercayai oleh orang ramai kerana tiada saman fitnah difailkan,” katanya.
Selain itu, Lim berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya mengkaji kemungkinan untuk memfailkan saman fitnah tambahan terhadap mereka yang berbohong bahawa beliau memperkenalkan cukai korporat atau pendapatan baharu seperti cukai baharu ke atas keuntungan syarikat Malaysia yang diperoleh di luar negara yang dibawa pulang ke Malaysia.
Beliau berkata, ia adalah palsu kerana cukai korporat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikurangkan daripada 1% kepada 17%, dan ambang pendapatan boleh cukai ke atas 17% itu dinaikkan sebanyak RM100,000 daripada RM500,000 kepada RM600,000 semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.
“Cukai baharu ini telah dikenakan dalam Bajet 2022 dan ini akan memberi kesan besar kepada syarikat Malaysia yang beroperasi di Singapura serta membawa kepada pelaksanaan cukai ke atas pendapatan yang diperoleh oleh 400,000 pekerja Malaysia.
“Kerajaan sebelum ini berkata, cukai ke atas pendapatan yang dibawa balik oleh pekerja Malaysia tidak akan dikenakan cukai buat masa ini.
“Bagaimanapun memandangkan tidak boleh ada satu negara, dua sistem, pendapatan pekerja Malaysia yang diperoleh di Singapura akan dikenakan cukai selepas pilihan raya umum ke-15,” katanya.