DBKL kaji reka bentuk saliran baharu atasi banjir kilat

DBKL kaji reka bentuk saliran baharu atasi banjir kilat

Menteri Wilayah Persekutuan berkata, perunding telah dilantik untuk mereka bentuk semula sistem saliran di ibu kota.

Banjir kilat akibat hujan lebat di Kuala Lumpur Isnin lalu menenggelamkan ratusan kenderaan dan menyebabkan bekalan elektrik terputus.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik perunding untuk mereka bentuk semula sistem saliran di ibu kota supaya dapat menampung penambahan air hujan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim.

“Perunding itu diminta menyiapkan kajian dalam tempoh 12 bulan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menangani masalah banjir kilat di Kuala Lumpur.

Shahidan menafikan dakwaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) bahawa DBKL tidak membersihkan longkang secara berkala dan berkata, ia mempunyai 19 perangkap sampah di sungai di bandar raya itu yang dibersihkan setiap hari.

Kuala Lumpur dilanda banjir kilat pusingan kedua dalam tempoh tiga bulan sehingga menyebabkan ratusan kenderaan tenggelam dan bekalan elektrik terputus Isnin lalu, manakala beberapa laluan di lebuh raya terpaksa ditutup kepada kenderaan.

Shahidan berkata, daripada 29 kawasan yang terjejas Isnin lalu, air surut dalam tempoh 30 hingga 45 minit di 25 kawasan, manakala empat kawasan lain mengambil masa satu hingga tiga jam untuk surut.

Ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam, Teresa Kok (PH-Seputeh) menggesa Shahidan supaya mengkaji semula semua cadangan projek perumahan berkepadatan tinggi di bandar raya itu kerana sistem perparitan tidak direka untuk menghadapi hujan lebat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.