
Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana dalam kenyataan berkata, Prayuth gembira dengan pelancaran VTL yang dijadualkan 15 Mac ini.
“Perjanjian gelembung perjalanan itu hasil kejayaan mesyuarat dua hala antara Prayuth dan Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan rasmi beliau ke Thailand pada 25 Feb.
“Pelaksanaan VTL udara sebahagian daripada kerjasama kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan bagi merancakkan pemulihan ekonomi rentas sempadan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, terutamanya perdagangan, pelaburan dan pelancongan.”
Thanakorn berkata, agensi dari kedua-dua negara sudah membincangkan secara terperinci prosedur dan protokol berkaitan untuk mengecualikan kuarantin kepada pengembara Thailand yang lengkap divaksin.
“VTL udara akan dilaksanakan antara Kuala Lumpur dan Bangkok (enam penerbangan sehari), antara Kuala Lumpur dan Phuket (empat penerbangan sehari). Penerbangan VTL tambahan tertakluk kepada perjanjian bersama antara kedua-dua negara.”
Katanya, pengaturan VTL Malaysia dengan Thailand akan diselaraskan dengan VTL udara Singapura, pengembara lengkap vaksinasi dibenarkan memasuki Malaysia tanpa kuarantin, dengan syarat perlu menjalani ujian RT-PCR dua hari sebelum berlepas dan sekali lagi semasa ketibaan.
Pada 5 Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong mengumumkan VTL Malaysia dengan Thailand dan Kemboja yang dijadualkan bermula 15 Mac ini sebahagian daripada usaha bersama ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Wee berkata, pengembara yang lengkap vaksinasi akan dibenarkan melalui laluan itu tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.
Sebelum pandemik Covid-19, Thailand merekodkan hampir 40 juta pengunjung, termasuk 4.1 juta pelancong Malaysia pada 2019.