

Lee Hwok Aun dari Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura berkata, dengan bilangan orang Cina dan India yang semakin berkurangan di negara ini, suara dan hak mereka sebagai minoriti perlu diinstitusikan.
“Institusi awam, sistem pendidikan dan masyarakat mesti memastikan identiti dan sumbangan minoriti diiktiraf, diraikan dan peluang adil diberikan kepada mereka,” katanya kepada FMT.
“Ini penting untuk memastikan perpaduan sosial dan integriti demokrasi,” tambahnya.
Jabatan Perangkaan dalam bancian 2020 baru-baru ini mendedahkan populasi orang Cina dan India masing-masing menyusut sebanyak 1.3% dan 0.6% dalam tempoh sedekad lalu.

Sementara itu populasi Bumiputera berkembang 2%, daripada 67.4% kepada 69.4% antara 2010 dan 2020, menjadikan penduduk bukan Bumiputera mewakili kira-kira 30% daripada jumlah keseluruhan.
Ahli demografi dari Universiti Malaya (UM) Tey Nai Peng meramalkan penduduk bukan Bumiputera akan berkurangan kepada kira-kira 25% menjelang 2050.
“Ini disebabkan jurang yang semakin besar antara kumpulan Bumiputera dan bukan Bumiputera berikutan kadar kelahiran yang rendah dalam kalangan kaum Cina dan India serta kadar penghijrahan lebih tinggi.
“Kadar kelahiran kaum Cina dan India berkurangan daripada 74,068 kepada 27,556 pada 2010 kepada 51,241 kepada 20,379 pada 2020. Sebaliknya, kadar kelahiran Bumiputera meningkat daripada 358,744 kepada 374,032 dalam tempoh sama,” katanya.
Kepelbagaian dalam kalangan Bumiputera

Ahli sosiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Denison Jayasoorian berkata, walaupun data bancian menunjukkan penguasaan Bumiputera yang besar, ia mungkin tidak benar-benar mencerminkan kepelbagaian yang wujud dalam negara, malah dalam kumpulan Bumiputera sendiri.
Katanya, kumpulan Bumiputera perlu diteliti dengan lebih dekat bagi menunjukkan kepelbagaiannya secara tepat.
“Perlu ada pecahan lanjut bagi kategori Bumiputera kerana ia terlalu besar dan mengurangkan perbezaan dalam kumpulan itu sendiri seperti antara Bumiputera Semenanjung dan mereka di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada FMT.