PN fokus ‘kawasan kelabu’ untuk menang, kata Muhyiddin

PN fokus ‘kawasan kelabu’ untuk menang, kata Muhyiddin

Pengerusi PN itu berkata, terdapat beberapa kawasan tertentu di negeri selatan itu yang memerlukan lebih usaha dan fokus.

Muhyiddin Yassin berkata, PN akan mengadakan ceramah dan bertemu pengundi secara bersemuka di kawasan kelabu.
KLUANG:
Berbaki tiga hari lagi untuk kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor, Perikatan Nasional (PN) kini lebih memfokuskan kawasan “kerusi kelabu” untuk meraih kemenangan.

Tanpa mendedahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikategorikan sebagai kelabu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata, terdapat beberapa kawasan tertentu di negeri selatan itu yang memerlukan lebih usaha dan fokus.

“Momentum kempen bagus. Semua kawasan kami beri fokus, terutama kawasan yang kami fikir perlu ada usaha lebih, kawasan kelabu. Di situ, kami akan asak dengan ceramah dan bertemu pengundi secara bersemuka,” kata Presiden Bersatu itu.

Selepas menghadiri program minum petang bersama pimpinan NGO dan masyarakat di sini, Muhyiddin yakin pengundi atas pagar telah membuat keputusan untuk memilih parti mana yang harus menerajui Johor.

Beliau turut meminta belia yang pertama kali mengundi untuk keluar mengundi pada PRN Johor Sabtu ini bagi menunjukkan sentimen dan kehendak mereka.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu juga berjanji akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memantau pelaksanaan manifesto “Demi Bangsa Johor” berteraskan lapan tunjang utama itu, jika PN diberi mandat pada PRN berkenaan.

Manifesto yang dilancarkan 2 Mac itu dipacu 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan yang meliputi kepimpinan berintegriti dan bebas rasuah, keutuhan ekonomi, keutamaan menangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN Johor pada 12 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.