Pembelaan Rosmah dalam kes rasuah penafian kosong, kata pendakwaan

Pembelaan Rosmah dalam kes rasuah penafian kosong, kata pendakwaan

Ia tidak cukup untuk menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan, katanya.

Pihak pendakwaan berkata, Rosmah Mansor menggunakan bekas pembantunya untuk meminta rasuah kerana dia ‘terlalu cerdik dan licik untuk menuntutnya sendiri’.
KUALA LUMPUR:
Pembelaan Rosmah Mansor dalam perbicaraan rasuah membabitkan projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion adalah “penafian kosong” dan tidak menimbulkan keraguan dalam kes itu, kata pihak pendakwaan.

Katanya, Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, mendakwa menjadi mangsa konspirasi yang mengakibatkan dia dikenakan tuduhan.

Dalam hujahan bertulis pihak pendakwaan yang difailkan di mahkamah seperti dilihat oleh FMT, ia berkata, pendirian pembelaan Rosmah mendakwa dalang konspirasi tersebut termasuklah bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Dia turut menyalahkan bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin dan bekas rakan kongsinya, Rayyan Radzwill Abdullah.

Turut tidak terlepas dituduh Rosmah adalah pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram, yang gagal dilucutkan kelayakannya semasa perbicaraan.

“Turut patut diberi perhatian adalah pembelaan tertuduh bagi setiap tuduhan adalah penafian kosong dan ini tidak cukup untuk menimbulkan keraguan mengenai kebenaran kes pendakwaan,” katanya.

Pihak pendakwaan berkata, Rosmah menafikan telah mengarahkan Rizal untuk meminta rasuah kerana dia bukan seorang yang berpengaruh dari segi politik bagi membolehkannya menuntutnya sendiri.

“Memandang kelebihan tertuduh dan fakta bahawa, dalam kata-katanya sendiri, dia ‘tidur dengan Perdana Menteri’, sangat tidak mungkin Rizal membuat tuntutan untuk dirinya sendiri,” katanya.

Mengambil kira keseluruhan keadaan katanya, sangat tidak masuk akal Rizal cuma menggunakan nama Rosmah untuk meminta rasuah.

Menurut pihak pendakwaan, Rosmah menggunakan Rizal untuk meminta rasuah kerana dia “terlalu cerdik dan licik untuk menuntutnya sendiri”.

“Malangnya ia gagal menyangkal anggapan niat korup mengikut keseimbangan kebarangkalian,” katanya.

Ia berkata, keterangan Rosmah untuk menyangkal dakwaan bahawa dia menerima RM6.5 juta – iaitu tuduhan kedua dan ketiga – juga adalah penafian kosong.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar membabitkan sekolah luar bandar di Sarawak.

Dia turut dituduh menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, juga melalui Rizal, di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Rosmah dikatakan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta di sini pada 7 Sept 2017.

Pihak pendakwaan memanggil 23 saksi, manakala pihak pembelaan memanggil dua saksi. Hakim perbicaraan, Zaini Mazlan akan mendengar hujahan lisan pada 5 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.