‘Kami amal ajaran Islam, bukan tunggang agama’, kata Pemuda PAS Johor

‘Kami amal ajaran Islam, bukan tunggang agama’, kata Pemuda PAS Johor

Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, doktrin dan persepsi PAS adalah penunggang agama itu sangat membimbangkan sedangkan PAS menyertai politik kerana tuntutan Islam.

Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, PAS tidak menunggang agama sebaliknya beramal dengan ajaran agama.
SRI GADING:
PAS tidak menjadikan retorik agama sebagai kaedah untuk menang pilihan raya, sebaliknya parti itu beramal dengan ajarannya, kata Ketua Pemuda PAS Johor Ahmad Nawfal Mahfodz.

Katanya, doktrin dan persepsi bahawa PAS adalah penunggang agama itu sangat membimbangkan sedangkan PAS menyertai politik kerana tuntutan Islam.

“Inilah kerisauan kita kalau ada pihak mendoktrin dan mencipta persepsi tersebut. Saya tak boleh nak tinggal Islam semata-mata kerana nak masuk politik kerana politik masih ada halal haram, masih ada dosa pahala, kita bukan menunggang (agama) tapi kita mengamalkan.

“Islam bukan untuk ditunggang, Islam untuk kita amalkan, kita (PAS) tak jaja pun, saya kira contoh dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor, tiada siapa pun cakap soal hudud…tetapi kita tak tinggalkan hudud, kita tetap bawa perjuangannya, memang kita terus perjuangkan, bukan untuk kita jaja,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamad sebelum ini yang mendakwa PAS menjadikan retorik agama untuk memenangi pilihan raya, Nawfal menyanggah kenyataan itu dengan menegaskan bahawa PAS mempunyai ramai profesional dalam pelbagai bidang, namun perkara itu tidak diambil tahu pihak lawan.

Nur Jazlan dipetik berkata, lebih kerap PAS bercakap soal agama akan menyebabkan Barisan Nasional (BN) mendapat lebih manfaat pada PRN Johor, susulan populasi seimbang antara pengundi Melayu dan bukan Melayu.

“Dalam PAS kita ada pelbagai pakar, tetapi tidak pernah diambil tahu (oleh lawan politik). Tak benar kata PAS tidak ada idea pendidikan atau ekonomi, rakyat Johor bijak menilai,” kata Nawfal yang juga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengapa PAS dilihat tidak serik bertanding dalam pilihan raya walaupun sering berdepan kekalahan, Naufal berkata, penglibatan parti itu dalam politik, selain untuk menang, adalah juga bertujuan menyampaikan dakwah.

“Menjadi tanggungjawab masuk pilihan raya untuk melebarkan dakwah, mencari kuasa mentadbir, berkongsi kerajaan dan menjaga tanah air, itu juga satu jihad yang besar. Menang adalah matlamat pilihan raya untuk politik, tetapi yang mendorong untuk masuk pilihan raya walaupun kalah, walaupun berkali kali kalah, adalah kerana kita tahu ganjarannya nanti,” katanya.

Beliau juga menolak tuduhan kononnya PAS parti ekstrim dengan menumpukan soal agama semata-mata dan mengabaikan nasib bangsa lain serta tidak pandai mentadbir.

Katanya, rakyat sendiri boleh menilai kebolehan PAS dan prestasi parti itu dalam memimpin negara setelah diberi amanah menerajui beberapa kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.