Najib digesa jelaskan kenyataan ‘mengelirukan’ sekarang, bukan selepas PRN Johor

Najib digesa jelaskan kenyataan ‘mengelirukan’ sekarang, bukan selepas PRN Johor

RSN Rayer masih beranggapan Najib perlu bertanggungjawab atas dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu hutang 1MDB minggu lalu.

RSN Rayer berkata, keputusan Najib Razak menangguhkan jawapan balas menunjukkan beliau enggan memberi sebarang penjelasan kepada Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak perlu memberi penjelasan berhubung hutang 1MDB kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekarang, bukannya menunggu sehingga pilihan raya negeri (PRN) Johor berakhir, kata seorang Ahli Parlimen pembangkang.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata demikian susulan laporan Malaysiakini hari ini bahawa Ahli Parlimen Pekan itu akan memberi penjelasan berhubung hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang pembayar cukai, selepas PRN Johor pada 12 Mac ini.

“Ia mungkin sudah terlambat (untuk Najib memberi penjelasan selepas PRN Johor),” katanya.

Rayer berkata, Najib perlu bertanggungjawab atas dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu hutang 1MDB pada minggu lalu.

“Saya tidak akan membenarkan Pekan memperbodohkan Dewan yang mulia ini dan terus berbohong. Saya akan mendesak tindakan diambil terhadap Pekan, sekiranya beliau enggan memberi sebarang penjelasan.”

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun berkata, beliau sudah meminta Najib menjelaskan kenyataannya itu kepada Dewan Rakyat esok.

Sebelum ini, Rayer meminta maklum balas daripada Azhar berhubung usul Tony Pua (PH-Damansara) supaya merujuk Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan hutang 1MDB.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri itu jelas menghina Parlimen apabila beliau berkata hanya akan memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat selepas PRN Johor.

“Dengan memilih untuk mengingkari arahan Speaker, Najib melanggar Peraturan Mesyuarat 43 Dewan Rakyat, di mana keputusan Speaker adalah muktamad mengenai pematuhan peraturan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.