Kes rempuh penunggang motosikal, pemandu lori direman

Kes rempuh penunggang motosikal, pemandu lori direman

Pemandu lori ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kejadian dua penunggang motosikal maut dirempuh di bawah jejambat di Gurun, semalam.

Dua maut manakala beberapa penunggang motosikal cedera selepas dirempuh lori ketika berhenti berteduh di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, di Gurun, semalam.
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori ditahan reman tiga hari bermula hari ini selepas dipercayai merempuh dua penunggang motosikal hingga maut di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di Gurun, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan majistret Nurul Ainna Ahmad terhadap suspek berusia 28 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut laporan Harian Metro, suspek yang berbaju T dan berseluar hitam tiba di Kompleks Mahkamah Sungai Petani dalam keadaan tangan bergari pada 10.10 pagi dengan diiringi anggota polis.

Suspek dilihat menundukkan kepalanya dan mengelak wajahnya dirakam petugas media yang menunggu di luar mahkamah.

Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, dua penunggang motosikal dilaporkan maut selepas dirempuh lori dipandu suspek.

Dua mangsa ketika itu sedang berteduh di bawah jejambat bersama beberapa penunggang motosikal lain kerana hujan lebat.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Amirul Ismail, 28, dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.