
Malah beliau turut memaklumkan kepada Pengerusi Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor, Hasni Mohammad akan menolak tawaran jawatan Exco, sekiranya BN kembali mentadbir kerajaan negeri.
“Saya pun sudah memberitahu Menteri Besar Johor (Hasni) bahawa sekiranya menang di DUN Rengit, jawatan Exco pun saya tak nak.
“Jadi, tak timbul dakwaan Wan Saiful. Saya nak bertanya kepada Wan Saiful, dia nak jadi Ketua Penerangan atau Ketua Penggelapan,” katanya kepada FMT ketika menafikan dakwaan Wan Saiful bahawa beliau giat melobi jawatan Menteri Besar Johor.
Wan Saiful menerusi catatan Facebook berkata, semasa ke Rengit baru-baru ini, beliau mendengar khabar bahawa Puad sudah beberapa minggu giat melobi jawatan Menteri Besar bagi menggantikan Hasni sekiranya BN menang.
“Khabarnya, antara hujah yang digunakan adalah sebagai ahli MKT yang dilantik sendiri oleh Ahmad Zahid Hamidi, dia boleh membawa Umno Johor lebih rapat dengan agenda Presiden Umno itu berbanding Hasni.
“Puad dikatakan telah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Zahid dan Najib Razak, maka sekarang adalah masa untuk menerima ganjaran,” katanya.
Puad berkata, beliau menolak dakwaan wujudnya perancangan lain membabitkan dirinya kerana Majlis Kerja Tertinggi Umno sudah memilih Hasni sebagai calon Menteri Besar Johor untuk BN jika mereka memenangi pilihan raya negeri 12 Mac ini.
“‘Poster boy’ PRN Johor ini adalah Hasni dan dia sudah pun diumum secara terbuka akan menjadi Menteri Besar sekiranya Umno menang PRN Johor.
“Maka tidak timbul dakwaan Wan Saiful mengatakan ada perancangan lain melibatkan diri saya,” katanya sambil menyifatkan dakwaan itu fitnah.
Beliau yakin tindakan Wan Saiful itu tidak laku dan menunjukkan parti itu tiada masa depan.
“Dia tak ada benda nak bawa kepada rakyat. PRN Johor ini adalah tempat mereka menggali lubang kubur mereka sendiri.
“Jangan jadi pengikut buta hati kepada Muhyiddin Yassin. Cepat keluar Bersatu yang tak ada masa depan,” katanya.