Isu pemecatan secara konstruktif tepat, mahkamah tolak rayuan bekas pengurus besar

Isu pemecatan secara konstruktif tepat, mahkamah tolak rayuan bekas pengurus besar

Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Perusahaan dalam kes pemberhentian kerja Jerald Wong Thai Hian.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dakwaan seorang bekas pengurus besar bahawa Mahkamah Perusahaan tersilap mengadili kesnya sebagai pemecatan secara konstruktif tidak mempunyai merit, putus Mahkamah Rayuan sebulat suara semalam.

Pada 20 Mei 2015, Jerald Wong Thai Hian, 42, menerima notis pemberhentian kerja daripada majikannya, ICE Mobile Sdn Bhd, disebabkan prestasi buruk.

Kontrak pekerjaan Wong mewajibkannya menjalani tempoh notis selama tiga bulan yang berakhir pada 19 Ogos 2015. Tujuh hari selepas diserahkan notis, Wong meninggalkan pekerjaannya dengan mendakwa dia dipecat secara konstruktif.

Mengakui bahawa terdapat dua peristiwa berpotensi berbeza yang mungkin mengakibatkan pemberhentian Wong, pengerusi Mahkamah Perusahaan Sarojini Kandasamy membuat kesimpulan bahawa inkuiri sewajarnya patut dijalankan ke atas dakwaan pemecatan secara konstruktif.

“Pemberhentian kerja pihak menuntut (Wong) tidak dikuatkuasakan pada 27 Mei 2015 dan tertakluk kepada dakwaannya berhubung pemecatan secara konstruktif pada tarikh itu,” kata Sarojini dalam keputusannya pada 2019.

Permohonan semakan kehakiman Wong untuk membatalkan keputusan itu ditolak Mahkamah Tinggi pada 31 Jan tahun lepas, justeru mencetuskan rayuan ini.

“Penemuan Mahkamah Perusahaan tepat bahawa isu yang dikemukakan adalah pemecatan secara konstruktif,” kata hakim Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel Mahkamah Rayuan selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak menerusi Zoom.

Azizah, yang bersidang bersama M Nantha Balan dan Darryl Goon, turut menyatakan bahawa Mahkamah Perusahaan mendapati prestasi buruk Wong dibuktikan sewajarnya oleh majikannya pada perbicaraan.

“Sebagai Mahkamah Rayuan dalam permohonan semakan kehakiman, kami keberatan untuk mengganggu dapatan fakta oleh Mahkamah Perusahaan. Justeru keputusan Mahkamah Tinggi disahkan,” katanya.

Wong, yang diwakili Loke Yuen Hong, diarahkan membayar kos RM10,000.

Peguam Clement Lopez mewakili ICE Mobile.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.