
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, Perak lebih memerlukan air untuk jangka masa panjang, iaitu sehingga 2050.
“Kita nak minta maaf kepada Pulau Pinang. Bukan kita tak simpati dengan dia. Cuma kami kena ‘secure’ untuk orang Perak sendiri.
“Jadi saya sudah beri keputusan. Bukan kami tak memahami, cuma kami tak cukup air,” katanya kepada FMT di sini.
Pada 3 Mac lalu, Saarani berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada Pulau Pinang.
Pada hari sama, Pulau Pinang dan Perak dilaporkan akan merujukkan isu penggunaan air mentah Sungai Perak kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pada masa sama Pulau Pinang akan cuba meyakinkan Perak bahawa projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kedua-dua negeri itu.
Dalam pada itu, Saarani menjelaskan keperluan air di Perak menunjukkan bahawa sumber sedia ada masih belum cukup untuk menampung permintaan sama ada untuk kegunaan rakyat mahupun industri.
Katanya, dalam kajian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk jangka masa panjang, pada tahun 2050 penduduk Perak akan berjumlah tiga juta orang.
“Ini bermakna lebih ramai orang dan lebih banyak air diperlukan. Bila industri datang selepas lebihan penduduk di Selangor dan Pulau Pinang, keperluan air bertambah. Ini terutamanya industri yang melibatkan getah dan sarung tangan.
“Lebih banyak kilang dibuat di Perak, lebih banyak air diperlukan,” katanya.
Saarani juga menjelaskan bahawa Perak ketika ini turut berdepan masalah kekeringan air di Tasik Bukit Merah yang digunakan bagi pengairan padi di utara negeri itu.
“Kita ada membuat pembenihan awan untuk turunkan hujan.
“Maknanya keperluan dalaman Perak sendiri jauh lebih penting. Sudah tentu terlebih dahulu akan memberi keutamaan kepada rakyat Perak, kena cari kaedah lain,” katanya.