Bantuan rakyat Malaysia di Ukraine, kes menyamar jadi polis tumpuan Parlimen hari ini

Bantuan rakyat Malaysia di Ukraine, kes menyamar jadi polis tumpuan Parlimen hari ini

Pertanyaan mengenai jenis bantuan kepada rakyat Malaysia di Ukraine diajukan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) kepada Menteri Luar semasa Waktu Pertanyaan Menteri.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine dan peningkatan kes individu menyamar sebagai anggota polis adalah antara isu yang akan dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dilaman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas susulan krisis Ukraine-Rusia itu akan diajukan oleh M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) kepada Menteri Luar semasa Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut tersenarai, soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai penyediaan rumah mampu milik bagi golongan muda serta sambutan kumpulan itu terhadap projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

Pada sesi soal jawab pula, Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri berhubung usaha kerajaan menangani peningkatan kes orang awam menyamar sebagai anggota polis bagi memastikan maruah dan imej pasukan polis terbela.

Soalan mengenai perancangan KPKT untuk mengurangkan penggunaan tapak pembuangan sisa pepejal terbuka dan meminimumkan impak negatifnya terhadap alam sekitar akan dibangkitkan oleh Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada menteri berkenaan.

Isu berkaitan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak termasuk perlindungan kesan sampingan bagi golongan itu akan diajukan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) kepada Menteri Kesihatan.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.