
Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia mengumumkan Cynthia sebagai calon bagi anugerah itu untuk mengiktiraf keberanian luar biasa, kekuatan dan kepimpinan wanita bagi memperbaiki kehidupan masyarakat.
“Cynthia adalah pembela hak asasi manusia utama dan pemimpin antirasuah yang mendedahkan pelbagai skandal rasuah.
“Beliau menghabiskan hayat profesionalnya untuk membela dan mempromosikan hak asasi manusia, tadbir urus baik, antirasuah dan kebebasan demokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Cynthia lantang menyuarakan isu pemilikan saham yang mengaitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, selain pembaharuan institusi dalam agensi antirasuah itu.
Anugerah Wanita Berani Antarabangsa di bawah Jabatan Negara AS yang bermula 2007 merupakan inisiatif untuk membawa perhatian dan sokongan global kepada wanita yang berusaha memperbaiki komuniti mereka.
Setiap tahun, duta AS akan menamakan seorang calon wanita dari setiap negara hos mereka.
Pemenang dan calon bagi anugerah itu dari Malaysia sebelum ini adalah Ambiga Sreenevasan, Susanna Liew, Nisha Ayub, M Indira Gandhi and Qyira Yusri.