UPKO bawa usul tuntutan Filipina, perjanjian pemuliharaan alam pada sidang DUN Sabah

UPKO bawa usul tuntutan Filipina, perjanjian pemuliharaan alam pada sidang DUN Sabah

UPKO berkata usul itu sangat penting kerana ia membabitkan kedaulatan Sabah dan kepentingan rakyatnya.

Naib Presiden UPKO Ewon Benedick berkata, usul pertama yang dikemukakannya ialah supaya sidang DUN membuat ketetapan untuk menolak secara kekal sebarang tuntutan daripada Filipina. (Gambar Bernama)
PENAMPANG:
Naib Presiden UPKO Ewon Benedick mengemukakan dua usul khas berkaitan tuntutan Filipina dan Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan berlangsung pada 16 hingga 24 Mac ini.

Katanya, dua usul itu sangat penting kerana ia membabitkan kedaulatan negeri itu serta kepentingan rakyatnya.

Beliau berkata, usul pertama dikemukakannya supaya sidang DUN membuat ketetapan untuk menolak secara kekal sebarang tuntutan daripada Filipina atau pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah.

Selain itu, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian mengusulkan supaya sidang DUN membuat ketetapan untuk tidak membayar apa-apa wang berkait tuntutan atau keputusan arbitrari berkaitan tuntutan tersebut yang dibuat sebelum ini.

“Ketetapan perlu dibuat oleh sidang DUN bagi mempertahankan kedaulatan dan kebebasan Sabah. Isu ini merupakan isu utama rakyat Sabah dan perlu dibincang, dibahas dan dimuktamadkan di DUN seterusnya menghapuskan secara kekal apa-apa persoalan berkaitan tuntutan lapuk yang mengelirukan rakyat Sabah selama ini,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, rakyat Sabah digemparkan dengan satu keputusan arbitrari di Sepanyol yang mengarahkan kerajaan Malaysia membayar RM63 bilion kepada pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Sementara itu Ewon berkata, usul berkaitan NCA adalah bagi membatalkan perjanjian berkenaan yang ditandatangani kerajaan negeri dengan syarikat Hoch Standard.

Katanya, ini kerana kandungan perjanjian itu berat sebelah dan tidak akan menguntungkan kerajaan negeri serta rakyat Sabah berdasarkan protokol antarabangsa berkaitan perdagangan kredit karbon.

“Ketetapan ini perlu dibuat oleh DUN bagi mempertahankan masa depan rakyat Sabah daripada sebarang kemungkinan liabiliti kewangan, aset semula jadi, tadbir urus songsang dan meniadakan konflik antara kerajaan negeri dengan masyarakat Orang Asal berhubung tuntutan tanah adat,” katanya.

Beliau berkata, isu perjanjian NCA juga kini menjadi tumpuan masyarakat saintifik dunia yang terlibat dengan konservasi iklim dan alam sekitar kerana pelbagai kecelaruan yang timbul dan perlu dimuktamadkan di sidang DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.