
“Jika kita tidak capai peratusan yang disasarkan, misalnya 100%, sampai bila kita hendak gilirkan anak-anak? Adakah kita tidak akan buka sekolah sepenuhnya?
“Jadi, kita tidak melihat kepada nisbah atau peratusan vaksinasi, tetapi kita akan melihat kepada keadaan semasa dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Apa yang penting, sampai masa sesuai, kita akan kembalikan murid sekolah rendah, termasuk sekolah yang muridnya melebihi 600 orang tanpa sistem penggiliran.
“Kita akan pastikan anak-anak ini dapat hadir ke sekolah tanpa penggiliran dalam mana negara sedang berpindah ke fasa endemik,” katanya dipetik Berita Harian selepas Sesi Penerangan Akujanji Perikatan Nasional bagi pilihan raya negeri Johor di Johor Bahru.
Buat masa ini, Radzi berkata, data KKM merekodkan 32.3% kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mengambil vaksinasi berbanding pelajar sekolah menengah yang mencapai lebih 50%.
“Kadar vaksinasi sekolah masih rendah berbanding sekolah menengah, sebab itu kita juga sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM supaya kita dapat membantu apa saja dalam memudah cara proses anak-anak ini (divaksinasi).
“Kita juga memastikan kemudahan diperlukan di sekolah serta memaklumkan ibu bapa jadual berkaitan vaksinasi yang ditetapkan KKM.
“Kita ingin pastikan lebih ramai anak divaksin supaya mereka dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat. Maka, ibu bapa perlu membuat keputusan terbaik (vaksin) untuk anak-anak mereka.”
Kelmarin, Radzi dilaporkan berkata, sekolah rendah dengan kemasukan lebih 600 murid perlu mengadakan pembelajaran bersemuka secara penggiliran bagi murid Tahun 3 hingga 5 pada penggal 1 sesi persekolahan 2022/2023 tidak lama lagi.