
Dalam kenyataan sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac, beliau berkata, kerajaan harus memberi mandat kepada lebih ramai wanita untuk mengambil bahagian dalam politik agar sejajar dengan piawaian universal, iaitu 30% perwakilan wanita dalam kerajaan.
“Sekiranya kerajaan boleh memberi mandat kepada sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai awam di Malaysia secara berperingkat mulai tahun ini, pastinya usaha serupa boleh diperluaskan ke dunia politik,” katanya.
Zuraida berkata, Malaysia perlu mengejar untuk mencapai sasaran 30% itu walaupun “langkah kecil” telah dibuat sebagaimana yang dilihat pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.
“Dalam pilihan raya Johor, 37 calon wanita diletakkan, meningkat daripada 28 pada pilihan raya sebelumnya. Bagaimanapun, 37 ini hanya menyumbang 15.5% daripada mereka yang bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata, wanita hanya menduduki kira-kira 15% daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan hanya 15.6% menteri dalam Jemaah Menteri adalah wanita.
“Saya telah membuat satu ketetapan untuk meningkatkan pemerkasaan wanita. Di bawah kementerian saya, wanita membentuk 34% daripada ahli lembaga pengarah agensi di bawah bidang kuasanya,” katanya.
Beliau berikrar untuk terus melibatkan diri dengan kerajaan mengenai cara untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik, termasuk kuota wanita untuk pencalonan dalam pilihan raya umum.
Malaysia hanya tinggal lapan tahun lagi dari 2030, tarikh akhir untuk mencapai matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk menyediakan peluang sama rata kepada wanita dan lelaki dalam bidang politik, ekonomi dan lain-lain.