Kerajaan tak berhak naikkan denda langgar SOP Covid-19, kata Guan Eng

Kerajaan tak berhak naikkan denda langgar SOP Covid-19, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP berkata menteri secara berterusan mengamalkan amalan dua darjat dengan secara terbuka melanggar SOP yang mereka sendiri perkenalkan.

Tangkap layar catatan Facebook Khairy Jamaluddin menunjukkan Menteri Kesihatan itu berlaga penumbuk dengan penyokong, tetapi kemudiannya diturunkan.
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan tidak berhak menaikkan denda ke atas individu yang melanggar peraturan Covid-19 selepas mengambil kira pimpinan tinggi kerajaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan sendiri, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam kenyataannya, Lim mendakwa menteri secara berterusan melakukan amalan dua darjat dengan “secara terbuka melanggar SOP yang mereka sendiri perkenalkan”.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan berhubung insiden Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin “berlaga penumbuk” dengan penyokong Barisan Nasional (BN) ketika berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Calon MUDA bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Azrol Rahani, mempersoalkan mengapa beliau dikenakan denda RM1,000 selepas berbuat perkara sama kepada penyokong pada hari penamaan calon Sabtu lalu dan sangsi sama ada Khairy juga perlu dikenakan saman.

Kerajaan bercadang meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pindaan itu dicadang meningkatkan denda bagi pelanggaran SOP kepada RM1 juta ke atas syarikat dan RM10,000 ke atas individu.

“Penalti yang keras dan denda kompaun seperti itu boleh dikuatkuasakan sesuka hati dengan cadangan pemberian kuasa mutlak dan tanpa batasan kepada Ketua Pengarah Kesihatan yang tidak boleh dipersoalkan atau dicabar di bawah cadangan pindaan sama,” kata Lim.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) dan DAP mengambil pendirian tegas menentang dan akan mengundi menolak cadangan pindaan sedemikian kerana pemberian kuasa mutlak kepada pihak penguatkuasaan dengan hukuman denda serta kompaun berat dikenakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.