
Agensi itu berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyediakan ikon “traveller” dalam aplikasi MySejahtera yang perlu dilengkapkan oleh pengembara sebelum berlepas ke Malaysia.
Katanya, antara perkara yang perlu diisi dalam aplikasi berkenaan adalah dokumen prapelepasan, pengisytiharan kesihatan dan permohonan kuarantin di rumah (HQA).
“Antara punca berlaku kesesakan di KLIA adalah apabila kebanyakan penumpang tidak melengkapkan dokumen prapelepasan format, pengisytiharan kesihatan dan HQA, sebelum berlepas ke Malaysia.
“Untuk HQA, sepatutnya mereka membuat permohonan dalam tempoh seminggu sebelum berlepas keluar negara. Apabila mereka telah melengkapkannya sebelum berlepas ke Malaysia, imbasan kod MySejahtera tidak lagi diperlukan semasa tiba di KLIA,” kata CPRC dalam kenyataan.
Semalam, seorang pakar industri pengangkutan, Rosli Khan menceritakan “pengalaman pahitnya” di KLIA sekembalinya dari Indonesia dalam ruangan kolum di FMT.
Mengulas lanjut CPRC berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat penyelarasan antara agensi melibatkan syarikat penerbangan, Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Jabatan Imigresen bagi menambah baik proses ketibaan di KLIA.
“Persatuan syarikat pnerbangan telah memberi peringatan semula kepada semua syarikat penerbangan untuk memastikan prosedur ‘predeparture’ dapat ditingkatkan. Pihak MAHB menambah signages (papan tanda) proses.
“Libat urus dengan pihak kedutaan berkaitan seperti Bangladesh, juga diadakan bagi membantu memastikan warganegaranya melengkapkan dokumen sebelum berlepas ke Malaysia,” katanya.
CPRC berkata, penumpang meningkat berlipat kali ganda ketika ini dan jumlah itu dijangka bertambah lagi apabila sempadan negara dibuka semula.
Untuk persediaan ke arah pembukaan semula sempadan katanya, protokol sedia ada telah disemak semula, termasuk proses pengurusan ketibaan penumpang di samping mengikut protokol kesihatan.
Katanya, persediaan di pintu masuk antarabangsa Pulau Pinang juga perlu dilakukan dari sekarang bagi memudahkan kerja menerima ketibaan pengembara luar negara.
“Libat urus dan perbincangan dengan semua Jabatan Kesihatan Negeri telah diadakan sebagai persediaan menghadapi pembukaan sempadan dengan selamat,” katanya.